Pelabur asing kembali beli saham, Bursa Malaysia catat aliran masuk RM318.2 juta

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November – Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia dengan mencatatkan aliran masuk sebanyak RM318.2 juta pada minggu lalu, menamatkan aktiviti penjualan bersih selama lima minggu berturut-turut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur asing mencatat pembelian bersih empat daripada lima hari, dengan aliran masuk tertinggi Rabu RM117.4 juta dan Selasa RM117.2 juta.
  • Sektor perkhidmatan kewangan menerima aliran masuk asing tertinggi RM437.1 juta, diikuti pengangkutan dan logistik serta pembinaan.
  • Perladangan, teknologi dan produk serta perkhidmatan perindustrian merekodkan pengeluaran dana asing terbesar.
  • Institusi tempatan menjadi penjual bersih dengan aliran keluar RM457.7 juta manakala pelabur runcit terus membeli bersih untuk minggu ke-10 RM134.6 juta.

MBSB Research berkata, pelabur asing mencatatkan pembelian bersih untuk empat daripada lima hari dagangan, dengan aliran masuk tertinggi sebanyak RM117.4 juta pada Rabu, diikuti RM117.2 juta pada Selasa.

Aliran masuk turut dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM68.6 juta dan Khamis RM32.3 juta, manakala Isnin menjadi satu-satunya hari mencatatkan penjualan bersih berjumlah RM17.3 juta.

“Sektor perkhidmatan kewangan menerima aliran masuk asing tertinggi sebanyak RM437.1 juta, diikuti pengangkutan dan logistik RM169.5 juta serta pembinaan RM73.4 juta, menunjukkan minat pelabur asing terhadap sektor utama ekonomi domestik.

“Sektor perladangan mencatatkan pengeluaran dana asing terbesar sebanyak RM163.2 juta, diikuti teknologi RM110.9 juta serta produk dan perkhidmatan perindustrian RM102.4 juta,” menurut Laporan Aliran Dana Mingguan berkahir 30 Oktober 2026, pada Isnin (hari ini).

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan kembali menjadi penjual bersih dengan aliran keluar RM457.7 juta selepas mencatatkan pembelian bersih pada minggu sebelumnya, manakala pelabur runcit meneruskan pembelian bersih untuk minggu ke-10 berturut-turut berjumlah RM134.6 juta.

Katanya, purata dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara menyeluruh, dengan pelabur runcit meningkat 3.7 peratus, institusi tempatan merosot 6.4 peratus, manakala institusi asing meningkat 8.9 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.