Atlet Olimpik Ireland, Ciara Mageean meninggal dunia

Instagram: ciaramageeanrun

BELFAST, 1 November- Pelari Ireland, Ciara Mageean yang pernah menjuarai acara 1,500 meter Kejohanan Olahraga Eropah dan beraksi dalam dua temasya Olimpik meninggal dunia pada usia 34 tahun akibat kanser, menurut kenyataan keluarganya pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memenangi acara 1,500 meter Kejohanan Olahraga Eropah di Rom pada 2024, pencapaian utama dalam kerjaya beliau.
  • Mewakili Ireland pada Sukan Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020, memegang beberapa rekod kebangsaan.
  • Kecederaan tendon Achilles menghalang beliau beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024.
  • Didapati menghidap kanser usus pada Julai 2025 dan diberitahu penyakitnya berada pada tahap lanjut.

“Pada 6.30 pagi tadi, Ciara menghembuskan nafas terakhir selepas berjuang melawan kanser dengan dikelilingi insan tersayang,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Instagram atlet itu.

Pemergiannya berlaku beberapa minggu selepas beliau berkahwin dengan teman lelakinya di sini.

Mageean mendedahkan diagnosis kanser usus pada Julai 2025 sebelum memaklumkan penyakit itu berada pada tahap akhir.

Berasal dari Portaferry, County Down, Ireland Utara, beliau merupakan antara pelari jarak sederhana terkemuka Ireland dan memegang beberapa rekod kebangsaan.

Beliau mewakili Ireland pada Sukan Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 yang berlangsung pada 2021.

Pencapaian terbesar Mageean hadir pada 2024 apabila beliau memenangi acara 1,500 meter Kejohanan Olahraga Eropah di Rom.

Bagaimanapun, kecederaan tendon menghalangnya daripada beraksi pada Sukan Olimpik Paris pada tahun sama.

Sepanjang menjalani rawatan, Mageean kekal positif dan pernah berkata beliau terus mencari kegembiraan dalam kehidupan seharian. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.