
GEORGE TOWN, 1 November – Penang FC gagal memanfaatkan peluang terhidang dan mengawal permainan dengan baik sehingga terpaksa akur tewas 1-2 kepada Melaka FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, di sini petang tadi.
- Penang FC membuka jaringan melalui penalti tetapi gagal mengekalkan momentum, membenarkan Melaka bangkit.
- Ketua jurulatih Wan Rohaimi nyatakan kelemahan penyudah dan kelalaian kawalan permainan punca kekalahan.
- Kekalahan ini ialah yang ketiga berturut-turut buat Penang FC dalam kejohanan.
- Ketua jurulatih Melaka E. Elavarasan sifatkan tiga mata di laman lawan bonus, puji semangat juang pemain.
Meskipun berjaya mendahului perlawanan dengan membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti 1-0, skuad Harimau Kumbang gagal mengekalkan momentum apabila Melaka FC bangkit mencetak dua gol untuk mengesahkan kemenangan.
Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui kelemahan penyudah dan kelalaian pemain ketika mengawal permainan menjadi antara faktor kekalahan pasukannya kepada Melaka FC.
“Pada pandangan saya, kami memulakan perlawanan dengan baik dan berjaya mengawal permainan. Namun, kelemahan dari segi penyudah menyebabkan beberapa peluang yang dicipta gagal diterjemahkan kepada jaringan.
“Selepas mendahului pada separuh masa kedua, kami sepatutnya lebih tenang dan yakin untuk mengawal permainan. Bagaimanapun, sedikit kelalaian menyebabkan pasukan Melaka berjaya menjaringkan gol penyamaan,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Penang FC mencatatkan kekalahan ketiga berturut-turut dalam kejohanan sebelum ini.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Melaka FC, E. Elavarasan menyifatkan kejayaan membawa pulang tiga mata penuh dari gelanggang Penang FC sebagai satu bonus buat pasukannya.
“Bagi kami, kejayaan membawa pulang tiga mata penuh ini satu bonus kerana Penang FC merupakan pasukan yang kuat, terutama apabila beraksi di laman sendiri.
“Walaupun ketinggalan 0-1, pemain tetap mengekalkan semangat juang dan terus berusaha hingga minit terakhir perlawanan hingga memperoleh 2-1 ke atas Penang FC,” katanya.