
SEPANG, 1 November – Saingan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) melabuhkan tirai dengan pelbagai drama serta emosi buat tiga pelumba yang menaiki podium hari ini.
- Marc Marquez kekal fokus dan mengingatkan pasukan supaya terus menekan walaupun hampir meraih gelaran dunia kelapan.
- Pedro Acosta bangga tempat kedua selepas memintas Alex di Selekoh 9, walaupun bergelut dengan tayar depan.
- Alex Marquez sahkan akan menjalani pembedahan bahu kanan di Madrid untuk keluarkan plat dan merawat keradangan, sasar pulih sebelum Portimao atau Valencia.
Juara perlumbaan dari pasukan Ducati, Marc Marquez, mengingatkan pasukannya agar kekal berwaspada dan mengekalkan tumpuan penuh walaupun kini selangkah sahaja lagi untuk dinobatkan sebagai juara dunia kali kelapan.
Marquez yang menguasai saingan 20 pusingan itu menyifatkan perlumbaannya berjalan lancar mengikut perancangan asal.
“Sepanjang hujung minggu ini, saya amat fokus sejak pusingan pertama sesi latihan bebas. Sasaran saya memang untuk mendahului sejak awal, mengawal empat ke lima pusingan pertama, dan kemudian menetapkan rentak sendiri sambil menjaga ketahanan tayar.
“Kedudukan kita memang semakin dekat dengan kejuaraan dunia, tetapi belum selesai. Mentaliti kami tetap sama iaitu terus menekan dan kekal fokus kerana masih ada baki perlumbaan penting di hadapan,” kata Marquez pada sidang media selepas perlumbaan.
Sementara itu, pelumba sensasi Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta, berpuas hati menamatkan saingan di tempat kedua selepas aksi cemerlang memintas Alex Marquez di Selekoh 9.
Acosta menyifatkan kutipan mata di litar luar Eropah membuktikan pasukannya berada pada landasan terbaik.
“Walaupun kami sedikit bergelut dengan tayar depan sepanjang hujung minggu ini, kami tetap berjaya memanfaatkan potensi pakej jentera ke tahap maksimum.
“Marc memang sukar digugat hari ini. Namun, berpeluang menaiki podium sekali lagi di Malaysia adalah pencapaian yang membanggakan buat saya dan pasukan,” jelas Acosta.
Bagi pemenang tempat ketiga, Alex Marquez, kegembiraan menaiki podium sedikit tercalar apabila beliau mengesahkan bakal terbang ke Madrid pada Isinin bagi menjalani pembedahan bahu kanan.
Menurut Alex, kecederaan akibat kemalangan di GP Catalunya sebelum ini memaksanya bergantung kepada ubat penahan sakit dan keadaan itu tidak lagi mampu ditampung sekiranya mengharungi tiga perlumbaan berturut-turut.
“Sasaran utama saya hari ini adalah untuk menamatkan perlumbaan dan berada di atas podium selepas kesilapan semalam.
“Selepas ini, saya perlu berehat seketika. Doktor perlu mengeluarkan plat pada tulang selangka dan merawat keradangan pada bahu kanan saya. Saya berharap pembedahan ini membolehkan saya kembali lebih kuat menjelang perlumbaan di Portimao atau Valencia,” katanya.