
RAUB, 1 November – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh pendekatan turun padang bagi memastikan masyarakat, khususnya komuniti Orang Asli, mendapat akses lebih mudah kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.
- JPN menyediakan perkhidmatan bergerak van untuk penggantian MyKad, memudahkan akses dokumen penting bagi bantuan SARA dan pembelian petrol diesel.
- Program mengadakan ziarah kebajikan, penyampaian barangan dan wang tunai serta sumbangan RM20,000 kepada surau dan bantuan kepada lapan keluarga OKU.
- Pameran tujuh reruai melibatkan PDRM, JPN, PKD, AADK, IPCC dan SWCorp menawarkan saringan kesihatan, pencegahan dadah, urusan dokumen dan jualan kraftangan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan itu membuktikan komitmen kerajaan bukan sahaja dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan, malah turut mengambil berat kebajikan serta keperluan rakyat.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membawa perkhidmatan bergerak menerusi van khas ke kawasan ini. Sekiranya ada penduduk yang kehilangan atau mengalami kerosakan MyKad, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan penggantian tanpa perlu ke pejabat JPN di Raub.
“MyKad penting kerana diperlukan untuk mendapatkan bantuan SARA bagi pembelian barangan keperluan dapur, selain urusan pembelian petrol dan diesel. Jadi, melalui inisiatif ini, penduduk dapat menguruskan dokumen pengenalan diri dengan lebih mudah,” katanya ketika berucap pada Program Santuni MADANI anjuran Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di Kampung Kela Pos Buntu Raub, di sini hari ini.
Katanya, kemudahan itu membolehkan penduduk menyelesaikan urusan berkaitan tanpa perlu ke pejabat JPN di Raub atau Lipis, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan dokumen penting untuk mengakses pelbagai bantuan kerajaan.
Beliau turut menegaskan KDN mempunyai 11 agensi di bawahnya yang memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman negara, selain memastikan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus menghargai keamanan negara serta komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan rakyat terpelihara.
Program berkenaan turut merangkumi aktiviti ziarah kebajikan kepada penduduk yang sakit, uzur dan kurang berkemampuan, selain penyampaian sumbangan barangan keperluan serta wang tunai kepada keluarga memerlukan.
Sementara itu, IPCC dalam kenyataannya memaklumkan, program berkenaan turut menyaksikan penyerahan sumbangan barangan keperluan dan peralatan bernilai RM20,000 kepada lima surau di sekitar Kampung Kela, selain sumbangan kepada lapan keluarga penerima dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) kekal.
Penganjuran program itu juga bertujuan memperkenalkan fungsi dan peranan IPCC kepada masyarakat, khususnya komuniti Orang Asli, termasuk kepentingan integriti, akauntabiliti dan tatakelakuan dalam perkhidmatan kepolisan.
Sebanyak tujuh reruai pameran dan perkhidmatan disediakan dengan penglibatan pelbagai agensi, antaranya PDRM menerusi pameran pasukan Senoi Praaq, JPN, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), IPCC dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Antara kemudahan ditawarkan termasuk saringan kesihatan percuma, pameran pencegahan dadah, urusan dokumen pengenalan diri serta kempen kebersihan persekitaran.
Program itu turut mengetengahkan hasil kraftangan masyarakat Orang Asli dan produk tempatan menerusi jualan komuniti, selain persembahan kebudayaan serta persembahan khas pasukan Senoi Praaq.
Pelaksanaan Program Santuni MADANI merangkumi enam elemen utama iaitu pembasmian kemiskinan, pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan dan kelestarian alam.