
KUALA LUMPUR, 1 November -Lebih 200 pemain daripada 10 pasukan menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah Penyiaran 2026, yang menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan warga Radio Televisyen Malaysia (RTM).
- Kejohanan julung kali menghimpunkan pasukan dari pelbagai bahagian RTM, seperti URB, Radio All Stars FC dan Slayer FC.
- Persiapan mengambil masa lebih dua bulan, termasuk pemilihan padang dan penetapan tarikh untuk memastikan kelancaran penganjuran.
- Perlawanan terpaksa ditangguhkan kerana jerebu teruk, menunjukkan keprihatinan penganjur terhadap keselamatan peserta.
- Kejohanan memberi peluang berinteraksi, mengeratkan hubungan kerja dan membina kekitaan antara warga RTM, serta patut diteruskan pada masa hadapan.
Pengarah Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah Penyiaran 2026, Muhammad Zulfaiz Mat Azlan berkata, kejohanan itu menghimpunkan pasukan daripada pelbagai bahagian dan unit di RTM, dengan persiapan mengambil masa lebih dua bulan bagi memastikan kelancaran penganjurannya.
“Kejohanan yang julung kali dianjurkan itu menghimpunkan pasukan daripada pelbagai bahagian dan unit di RTM, antaranya Unit Reka Bentuk (URB), Radio All Stars FC yang mewakili Bahagian Radio, serta Slayer FC yang mewakili Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES).
“Dari awal gerak kerja yang telah ditetapkan, kami memulakan persiapan dengan membuat pemilihan padang serta menetapkan tarikh kejohanan. Kejohanan yang sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan berikutan situasi jerebu yang teruk ,” katanya ketika ditemui pada perlawanan berkenaan di sini.
Wakil pasukan Radio All Stars FC yang juga pembaca berita RTM, Anas Muhammad Farihin Osman menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai pengalaman bermakna kerana memberi peluang kepada mereka untuk berkumpul dan beraksi bersama.
“Hari ini merupakan hari yang cukup bermakna buat kami seluruh pasukan kerana dapat bersama-sama dengan warga RTM. Bukan mudah untuk kita berkumpul seperti ini. Jadi, saya berasa sangat gembira kerana dapat berjumpa ramai-ramai pada hari ini. Selalunya kita hanya berjumpa atas urusan kerja, tetapi kali ini kita dapat meluangkan masa bersama-sama melalui aktiviti sukan dan melihat satu sama lain daripada sudut pandangan yang berbeza,” katanya.
Wakil pasukan Multimedia FC yang juga jurukamera RTM, Azrul Bahari Ayeop Kharun Anuar pula menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform positif yang wajar diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
“Hal ini kerana, selain kita berkenalan dengan unit-unit lain, kita juga dapat beriadah. Perasaan saya bersama senior-senior saya sangat gembira sebab saya tidak pernah mengenali mereka secara mendalam seperti ini,” katanya.
Wakil pasukan Slayer FC yang juga wartawan RTM, Muhammad Syakir Ahmad Sazali pula berpandangan kejohanan berkenaan mampu merapatkan hubungan antara kakitangan daripada pelbagai unit, termasuk mereka yang jarang berinteraksi dalam urusan kerja seharian.
“Sebagai orang yang baru masuk di bahagian Berita, apabila berjumpa dengan editor, terutamanya berkaitan tugasan berita, memang timbul perasaan berdebar-debar. Kadangkala, kita melihat editor sebagai seorang yang garang.
“Namun, apabila kita sudah bermain bersama-sama di atas padang, tanggapan itu mula berubah. Kita juga dapat berinteraksi dengan lebih kerap, sama ada ketika meminta bola mahupun bantuan. Jadi, saya rasa hubungan dengan editor kini menjadi lebih baik dan urusan juga lebih mudah,” katanya.