Qabil Irfan kembali ke litar penuh bergaya

Facebook: MAM – Motorsports Association of Malaysia

SEPANG, 31 Oktober- Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan meraikan kemunculan semula di litar dengan penuh bergaya apabila menjuarai Perlumbaan 1 pusingan kelima Moto4 Asia Cup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pada awal perlumbaan beliau kurang yakin tetapi membina keyakinan dan memberikan usaha terbaik pada pusingan terakhir.
  • Perlumbaan ini merupakan penampilan pertamanya sejak cedera awal September; beliau berehat kira-kira dua bulan dan terlepas dua pusingan.
  • Kini beliau menduduki tempat keenam keseluruhan dengan 87 mata; Perlumbaan 2 pusingan kelima dijadual esok.

Qabil Irfan berkata beliau pada awalnya kurang yakin dengan kemampuan sendiri sebelum berjaya membina keyakinan sepanjang perlumbaan untuk memburu kemenangan.

“Perlumbaan hari ini memang sengit. Pada awalnya, saya kurang yakin dengan kemampuan sendiri, tetapi cuba membina keyakinan sepanjang perlumbaan. Pada pusingan terakhir, saya memberikan usaha terbaik dan sangat bersyukur kerana berjaya meraih kemenangan,” katanya.

Pelumba berusia 14 tahun itu berkata kejayaan berkenaan amat bermakna memandangkan perlumbaan di Sepang merupakan penampilan pertamanya selepas mengalami kecederaan pada awal September lalu.

Sepanjang proses pemulihan, Qabil Irfan terpaksa melupakan aksi pada dua pusingan Moto4 Asia Cup, iaitu di Jepun dan Indonesia sebelum kembali beraksi di laman sendiri.

“Saya berehat kira-kira dua bulan selepas mengalami kecederaan. Ini perlumbaan pertama saya selepas kembali beraksi dan sebelum ini saya belum pulih sepenuhnya untuk berlumba. Saya sangat bersyukur kerana dapat kembali ke litar dan lebih bermakna apabila berjaya meraih kemenangan hari ini,” katanya.

Dalam perlumbaan itu, pelumba Indonesia, Bintang Pranata menamatkan saingan di tempat kedua, manakala seorang lagi wakil Malaysia, Qayyim Razin melengkapkan podium di tempat ketiga.

Kemenangan itu menyaksikan Qabil Irfan kini menduduki tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 87 mata.

Perlumbaan 2 pusingan kelima Moto4 Asia Cup dijadual berlangsung esok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.