Malaysia terima pesawat tempur ringan FA-50M

Foto RTM

LABUAN, 30 Oktober – Pesawat pejuang ringan FA-50M pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Korea Selatan tiba di Pangkalan Udara Labuan hari ini untuk transit sebelum meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara Kuantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesawat ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan untuk menyokong kesiapsiagaan operasi dan latihan TUDM.
  • Perolehan 18 FA-50M bernilai hampir RM4 bilion di bawah RMK-12 sebagai sebahagian pemodenan aset TUDM.
  • Inisiatif tingkatkan keupayaan pertahanan udara dan pembangunan modal insan melalui latihan serta penguasaan teknologi penerbangan tempur.

Ketibaan pesawat itu disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebagai sebahagian daripada usaha pemodenan aset pertahanan udara negara.

Pesawat berkenaan akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan bagi menyokong kesiapsiagaan operasi dan latihan TUDM, selain memperkukuh pembangunan kepakaran serta kemahiran juruterbang pesawat pejuang.

Menurut Mohamed Khaled, persiapan melibatkan pasukan kejuruteraan, operasi dan juruterbang telah dimulakan bagi memastikan skuadron berkenaan bersedia melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan.

Skuadron No. 15 akan mengendalikan pengoperasian pesawat pejuang ringan itu.

Perolehan 18 buah pesawat FA-50M daripada Korea Aerospace Industries (KAI), Korea Selatan, bernilai hampir RM4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), merupakan sebahagian daripada agenda pemodenan aset TUDM.

Daripada jumlah itu, sebuah pesawat tiba hari ini, manakala sebuah lagi dijadualkan tiba esok. Baki pesawat pula dijangka diterima secara berperingkat bermula awal 2027.

Pesawat berkenaan akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan bagi menyokong kesiapsiagaan operasi dan latihan TUDM.

Selain meningkatkan keupayaan pertahanan udara, perolehan itu turut menjadi pemangkin pembangunan modal insan TUDM menerusi latihan serta penguasaan teknologi penerbangan tempur bagi melahirkan generasi juruterbang pesawat pejuang berkemahiran tinggi.

Inisiatif berkenaan selaras dengan Teras 1 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara.

Pemodenan aset yang disokong pembangunan kepakaran anggota diyakini mampu meningkatkan keberkesanan operasi TUDM dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara serta melindungi kepentingan strategik negara.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.