
NEW YORK, 30 Oktober – Gabenor New York Kathy Hochul menandatangani undang-undang bagi melindungi golongan bawah umur daripada risiko penggunaan chatbot kecerdasan buatan (AI) yang semakin meningkat, menurut pejabat gabenor itu, lapor Xinhua.
- Undang-undang larang chatbot bagi pengguna bawah 18: menyamar sebagai manusia, mewujudkan kebergantungan emosi, galakkan mencederakan diri atau perbualan seksual terbuka.
- Pelanggaran boleh dikenakan penalti sivil sehingga US$25,000 melalui tindakan Peguam Negara New York.
- Rang undang-undang sediakan laman web awam untuk penduduk mengemukakan aduan terhadap syarikat chatbot disyaki melanggar peraturan.
- Negeri lain juga luluskan sekatan; California wajibkan penilaian risiko keselamatan kanak-kanak tahunan dan audit bebas serta larangan ciri ketagihan.
Undang-undang baharu yang ditandatangani Hochul pada Rabu itu melarang syarikat menawarkan pelbagai ciri chatbot kepada pengguna bawah usia 18 tahun termasuk menyamar sebagai manusia, mewujudkan kebergantungan emosi, menggalakkan perbuatan mencederakan diri sendiri atau terlibat dalam perbualan berunsur seksual secara terang-terangan.
Di bawah undang-undang baharu itu, pelanggaran boleh dikenakan penalti sivil sehingga US$25,000 melalui tindakan yang diambil oleh Peguam Negara New York.
Rang undang-undang itu turut memperuntukkan penubuhan laman sesawang awam bagi membolehkan penduduk New York mengemukakan aduan terhadap syarikat chatbot yang disyaki melanggar peraturan berkenaan.
Beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan undang-undang bagi mengehadkan penggunaan chatbot dalam kalangan kanak-kanak serta mengenakan syarat keselamatan yang lebih ketat terhadap syarikat AI.
Pada September, Gabenor California Gavin Newsom menandatangani undang-undang yang mewajibkan pembangun chatbot menjalankan dan menerbitkan penilaian risiko keselamatan kanak-kanak setiap tahun, selain memastikan produk mereka menjalani audit bebas.
Newsom turut menandatangani undang-undang yang melarang platform media sosial daripada menggunakan ciri yang boleh menyebabkan ketagihan dalam kalangan pengguna bawah usia 16 tahun.
– BERNAMA-XINHUA