El Salvador hantar lebih 2,000 tentera ke Haiti

Empat anggota tentera El Salvador hilang ketika bertugas bersama Pasukan Pembanterasan Geng dalam misi keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) / Foto AFP

SAN SALVADOR, 30 Oktober – El Salvador menghantar lebih 2,00 anggota tentera ke Haiti bagi menyertai operasi menyelamat empat anggota tenteranya yang hilang sejak 18 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mendapat sokongan beberapa negara dan organisasi antarabangsa.
  • Kenderaan perisai tentera diserang ketika dalam perjalanan pulang dari pasar berhampiran Port-au-Prince.
  • Presiden Nayib Bukele berbincang dengan Perdana Menteri Haiti mengenai operasi penyelamatan.
  • Misi itu berlaku semasa Haiti terus bergelut dengan keganasan geng, mengancam keselamatan dan kestabilan negara.

Kementerian Luar El Savador menerusi kenyataan memaklumkan pada Rabu, operasi berskala besar itu mendapat sokongan daripada beberapa negara dan organisasi antarabangsa.

“El Savador akan meneruskan penugasan operasi membabitkan lebih 2,000 anggota tentera bagi menyelamatkan empat anggota tentera yang hilang,” menurut kementerian itu.

Empat anggota tentera itu yang bertugas bersama Pasukan Pembanterasan Geng (GSF) dalam misi keselamatan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dilaporkan hilang sejak 18 Oktober selepas kumpulan penyerang menyasarkan kenderaan perisai yang dinaiki mereka.

Serangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke pangkalan selepas mengunjungi sebuah pasar di luar ibu negara Haiti, Port-au-Prince.

Presiden El Salvador, Nayib Bukele turut mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Haiti, Alix Didier Fils-Aime, pada Rabu bagi membincangkan operasi menyelamat berkenaan.

Minggu lalu, Bukele menerusi hantaran di platform X mengancam untuk menghapuskan kumpulan geng di negara itu, sebagaimana tindakan yang dilakukannya di El Salvador, sekiranya kumpulan berkenaan enggan membebaskan empat anggota tenteranya.

Sementara, lebih 2,000 anggota tentera tambahan itu akan menyertai pasukan yang sudah ditempatkan di Haiti bagi memperluas operasi pencarian di kawasan Plaine du Cul-de-Sac, berhampiran Port-au-Prince.

Misi berkenaan berlangsung ketika Haiti terus bergelut dengan keganasan kumpulan geng bersenjata yang mengancam keselamatan penduduk serta kestabilan negara.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.