
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Isu penjagaan golongan rentan bukan lagi sekadar urusan domestik sesebuah keluarga, sebaliknya perlu diangkat sebagai agenda nasional yang menuntut komitmen bersama.
- Latihan dan persijilan kemahiran melalui KENDALI MADANI untuk melahirkan penjaga profesional yang terlatih dan diiktiraf.
- Program menyokong Malaysia Care 2026-2030 dan memfasilitasi persijilan 50,000 penjaga pada 2024 hingga 2030.
- MoU antara Yayasan MyPrihatin dan JPK bagi pengiktirafan kompetensi melalui PPT, mensasarkan 5,000 peserta dalam tiga tahun.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keperluan itu semakin penting ketika Malaysia bergerak ke arah status negara menua.
Menurut beliau, latihan dan persijilan kemahiran mengikut standard amat penting dalam pengurusan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas bagi melahirkan penjaga profesional yang terlatih serta diiktiraf.
“Di sebalik setiap insan yang dijaga, ada seorang penjaga yang memberikan masa, tenaga dan kasih sayang. Selama ini, ramai antara mereka berkhidmat tanpa latihan yang mencukupi dan tanpa pengiktirafan.
“KENDALI MADANI menjawab kepada keperluan ini dengan menyediakan latihan dan persijilan kemahiran bagi melahirkan penjaga profesional yang terlatih, kompeten dan diiktiraf,” katanya.
Beliau menyatakannya ketika berucap pada Majlis Peluncuran KENDALI MADANI dan Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di Parlimen, di sini, semalam.
Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, inisiatif itu menjadi antara langkah awal dalam mengangkat martabat penjaga serta memperkukuh perkhidmatan penjagaan secara holistik.
Program yang dilancarkan bersempena Hari Penjagaan dan Sokongan Sedunia pada 29 Oktober itu turut menyokong kerangka dasar Malaysia Care 2026-2030.
Ia selari sasaran kerajaan untuk memfasilitasi persijilan 50,000 penjaga di seluruh negara bagi tempoh 2024 hingga 2030.
Beliau berkata, pelaburan dalam latihan penjaga bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup warga emas dan OKU, malah meringankan beban emosi serta fizikal keluarga selain membuka peluang kerjaya yang bermaruah.
Dalam pada itu, Program KENDALI MADANI menyasarkan penyertaan 5,000 peserta dalam tempoh tiga tahun menerusi pelaksanaan secara berfasa di beberapa negeri.
Menurut kenyataan bersama Yayasan MyPrihatin, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), program itu memberi tumpuan kepada latihan berstruktur, peningkatan kompetensi, pengukuhan amalan penjagaan berkualiti serta pembangunan tenaga kerja lebih berdaya saing.
“Program berkenaan melibatkan pengendali pusat jagaan, penjaga profesional, tenaga pengajar serta individu berpengalaman dalam pengurusan dan penjagaan golongan OKU.
“Ia turut memberi penekanan kepada pembangunan laluan persijilan kemahiran menerusi kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), tertakluk kepada syarat dan ketetapan JPK,” menurut kenyataan tersebut.
Pendekatan itu memberi peluang kepada tenaga kerja berpengalaman memperoleh pengiktirafan kemahiran secara formal, sekali gus meningkatkan profesionalisme dan kebolehpasaran mereka.
“Bagi memperkukuh pelaksanaannya, Yayasan MyPrihatin menandatangani MoU dengan JPK bagi kerjasama dalam pembangunan kompetensi dan persijilan kemahiran bidang pengurusan serta penjagaan OKU,” menurut kenyataan itu.
KENDALI MADANI juga memberi fokus kepada pengurusan dan penjagaan kanak-kanak OKU serta golongan yang memerlukan perkhidmatan penjagaan khusus.
Pelancaran program itu merupakan antara usaha memperkukuh ekosistem ekonomi penjagaan negara menerusi pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kompetensi serta pengiktirafan kemahiran berasaskan pengalaman industri.