PBB lulus resolusi gesa AS tamatkan sekatan terhadap Cuba

Keadaan tegang ketika proses debat dan undian antiembargo Cuba terhadap Amerika Syarikat./ AFP

NEW YORK, 29 Oktober – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menggesa Amerika Syarikat (AS) menamatkan sekatan ekonomi, perdagangan dan kewangan terhadap Cuba, namun sokongan terhadap resolusi itu merosot ke paras terendah dalam tempoh tiga dekad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hasil undian: 130 menyokong, 17 menentang, 25 berkecuali; sokongan terendah sejak 1995.
  • Resolusi menyebut kesan sekatan bekalan bahan api terhadap Cuba sejak Januari.
  • Ketegangan berlaku antara wakil Cuba dan AS; Rodriguez menuduh pemaksaan, Waltz menuduh rejim komunis bertanggungjawab.

Resolusi yang diundi pada Rabu itu memperoleh 130 undi menyokong, 17 menentang dan 25 berkecuali, jumlah sokongan terendah sejak 1995.

Resolusi berkenaan dikemukakan hampir setiap tahun sejak 1992 dan secara konsisten diluluskan, meskipun sokongan terhadapnya tahun ini menunjukkan penurunan ketara.

Resolusi terbaharu itu turut merujuk kesan sekatan bekalan bahan api terhadap Cuba yang dikenakan AS sejak Januari lalu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Havana menuduh Washington melancarkan usaha diplomatik untuk mendesak negara-negara lain menarik balik sokongan terhadap resolusi berkenaan.

Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, menerusi hantaran di platform X pada Rabu, menegaskan masyarakat antarabangsa masih menentang sekatan itu meskipun berdepan tekanan AS.

“Dunia sekali lagi bersuara secara besar-besaran menentang sekatan itu, meskipun berdepan tekanan dan pemerasan paling terang-terangan daripada AS untuk mengubah keputusan undian ini,” katanya.

Beliau kemudian menuduh Washington menggunakan “paksaan ala samseng”.

Sementara itu, Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez, ketika berucap di New York, menuduh Washington cuba “menentukan nasib negara itu” dan “merampas” kekayaannya.

Bagaimanapun, Duta AS ke PBB, Mike Waltz, menolak dakwaan bahawa Cuba dikenakan sekatan menyeluruh.

“Kesengsaraan rakyat Cuba adalah sepenuhnya berpunca daripada rejim komunis yang korup ini,” katanya sebelum pengundian.

Waltz turut menegaskan bahawa tiada kepungan kapal perang AS di perairan Cuba dan pelabuhan negara itu masih beroperasi.

“Realitinya, ketika kita bercakap hari ini, tiada barisan kapal perang Tentera Laut AS mengelilingi Cuba. Pelabuhan mereka terbuka. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, data menunjukkan penghantaran bekalan telah tiba dari seluruh dunia,” katanya.

Ketegangan antara kedua-dua negara turut memuncak sehari sebelum pengundian apabila Rodriguez menghampiri Waltz di dewan Perhimpunan Agung PBB sambil menjerit, “You are a liar!” atau “Kamu penipu!”

Waltz pula menjerit meminta Rodriguez supaya berundur.

Insiden itu menyebabkan pengerusi persidangan menggantung sidang buat sementara waktu sebelum mengarahkan wakil kedua-dua negara kembali ke tempat masing-masing.

Dalam perbahasan pada Selasa, Waltz turut mempamerkan gambar pemimpin Cuba, termasuk Diaz-Canel, yang didakwa memakai jam tangan mewah. Tindakan itu mencetuskan bantahan delegasi Cuba yang berulang kali mengetuk meja dan mencelah ucapan beliau.

Waltz kemudian menunjukkan imej satelit serta butiran mengenai kediaman mewah, bot dan percutian yang didakwanya dinikmati keluarga Castro serta pegawai Cuba.

“Rejim itu tidak pernah mempunyai bahan api yang mencukupi untuk ambulans Cuba. Mereka juga tidak pernah mempunyai bahan api yang mencukupi untuk bas Cuba. Tetapi apabila keluarga Castro dan golongan elit yang duduk di meja itu mahu bersiar-siar dengan kapal layar, tiba-tiba semuanya tidak menjadi masalah,” katanya.

Mengulas perbahasan berkenaan dalam wawancara bersama Fox News pada Rabu, Waltz menyifatkan sesi perdebatan sehari sebelumnya sebagai agak panas.

“Perdebatan itu menjadi agak panas,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.