
PUTRAJAYA, 28 Oktober – Malaysia memilih pendekatan diplomasi dalam menangani isu pelarian Myanmar di negara ini, meskipun berdepan kritikan antarabangsa.
- Anwar: penyelesaian melalui hubungan diplomatik untuk dapat kerjasama Myanmar; bukan bermaksud merestui pengusiran.
- Tekankan keselamatan pelarian; perlu jaminan sewajarnya daripada pihak berkuasa Myanmar.
- Telah memulangkan kira-kira 10,300 pelarian; 3,000 lagi dijangka dihantar pulang bulan ini.
- Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomasi walaupun pendekatan itu belum menyelesaikan keseluruhan isu pelarian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu bertujuan mendapatkan kerjasama Myanmar selepas kecaman terhadap negara itu selama puluhan tahun gagal membawa perubahan ketara.
“Saya berpandangan bahawa jalan penyelesaian adalah melalui hubungan diplomatik dengan Myanmar, namun tidak bermakna kita bersetuju dengan tindakan pengusiran atau merestui apa yang telah dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Menurut Datuk Seri Anwar, kira-kira 10,300 pelarian Myanmar sudah dibawa pulang, manakala 3,000 lagi dijangka mengikuti proses penghantaran pulang pada bulan ini.
Bagaimanapun beliau menegaskan, aspek keselamatan pelarian perlu terus diberi perhatian, termasuk mendapatkan jaminan sewajarnya daripada pihak berkuasa Myanmar.
“Ini merupakan langkah sementara dan mungkin belum mencukupi, namun tidak bermakna saya merestui segala tindakan yang dilakukan.
“Dalam setiap perbincangan, saya tidak pernah mengetepikan aspek keselamatan pelarian, sama ada mereka beragama Islam atau Buddha.
“Perkara itu sentiasa saya tekankan kerana kita memerlukan kerjasama dan pertimbangan daripada pihak Myanmar,” katanya.
Tegas Perdana Menteri, Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomasi bagi mendapatkan kerjasama negara itu, sambil mengakui pendekatan berkenaan belum mampu menyelesaikan keseluruhan isu pelarian.