
ISTANBUL, 28 Oktober – Turkiye menganjurkan rundingan antara pentadbiran timur dan barat Libya minggu lalu dalam usaha menyatukan kedua-dua pihak, namun setakat ini tiada persetujuan dicapai.
- Perbincangan tertumpu pada penyatuan ketenteraan, dengan aspek politik dijangka dibincangkan pada peringkat seterusnya.
- Hubungan Ankara dengan pentadbiran timur semakin baik, menjadikan keadaan lebih kondusif untuk penyatuan kedua-dua pihak.
- Parlimen timur meluluskan perjanjian sempadan maritim dengan Turkiye, mencetus bantahan Greece dan Mesir.
Menurut seorang pegawai kanan Turkiye, perbincangan setakat ini tertumpu kepada penyatuan ketenteraan, manakala aspek penyatuan politik dijangka dibincangkan pada peringkat seterusnya.
Rundingan yang berlangsung di Ankara itu melibatkan pegawai tentera daripada kedua-dua pentadbiran Libya serta diplomat, dengan Turkiye bertindak sebagai orang tengah.
Libya terus berdepan ketidakstabilan sejak penggulingan Moamer Kadhafi pada 2011, dengan negara itu kini terbahagi antara kerajaan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Tripoli dan pentadbiran pesaing di timur yang disokong komander tentera Khalifa Haftar.
Turkiye sebelum ini menyokong kuat kerajaan yang berpangkalan di Tripoli ketika konflik melanda Libya. Bagaimanapun, hubungan Ankara dengan pentadbiran timur semakin baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata, keadaan kini semakin kondusif untuk menyatukan semula kedua-dua pentadbiran itu secara berkekalan, khususnya menerusi penyatuan pasukan tentera di bawah satu struktur.
Beliau turut memberi bayangan bahawa perkembangan positif berhubung usaha itu mungkin diumumkan tidak lama lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Parlimen Libya yang berpangkalan di timur minggu lalu meluluskan perjanjian persempadanan maritim dengan Turkiye, beberapa tahun selepas menolaknya ketika perjanjian itu mula dimeterai.
Perjanjian berkenaan mencetuskan bantahan Greece dan Mesir, yang mendakwa ia menjejaskan hak Kaherah di Mediterranean.
Amerika Syarikat dan PBB turut menggiatkan usaha bagi menyatukan semula Libya, sebuah negara kaya dengan sumber minyak.- AFP