
SHAH ALAM, 28 Oktober – Jabatan Peguam Negara (AGC) dirujuk bagi meneliti kedudukan perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum keputusan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
- Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dibangkitkan untuk menentukan tindakan seterusnya berhubung status pegawai.
- Penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS adalah selama dua tahun dan memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
- Sebarang pemendekan atau penamatan perlu mengambil kira nasihat AGC dan mendapatkan perkenan semula Yang di-Pertuan Agong; beliau akan dikembalikan ke PDRM.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, perkara itu turut dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) bagi menentukan tindakan seterusnya.
Beliau berkata penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS adalah untuk tempoh dua tahun dan memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Sebarang cadangan yang dikemukakan perlu melalui proses mendapatkan titah dan kelulusan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Setelah selesai, insya-Allah, saya akan memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara-perkara yang perlu dilaksanakan serta tindakan susulan yang akan diambil,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), hari ini.
Menurut beliau, sebarang keputusan termasuk kemungkinan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain perlu mengambil kira nasihat AGC dan Yang di-Pertuan Agong berikutan pelantikannya di AKPS adalah secara kader selama dua tahun.
“Sebarang tindakan berhubung perkara ini perlu mendapatkan perkenan semula daripada Yang di-Pertuan Agong, termasuk sekiranya melibatkan pemendekan tempoh perkhidmatan atau perkara-perkara lain yang berkaitan.
“Setelah proses tersebut selesai, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain akan dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), memandangkan beliau merupakan pegawai polis yang masih berkhidmat, insya-Allah,” jelasnya.