
JOHOR BAHRU, 27 Oktober – Kelab Johor Darul Takzim (JDT) berjaya merekodkan kemenangan kedua dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini hasil kemenangan 3-0 ke atas kelab Thailand, Port FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
- Tiga gol pada babak kedua oleh Jonathan Silva (min 57), Bergson Da Silva (min 62, kemudian cedera) dan Stoichkov (min 86).
- Selepas tiga perlawanan, JDT mengumpul tujuh mata selepas seri menentang Buriram United dan menang ke atas Pohang Steelers.
- Ketua jurulatih Xisco Munoz akui sukar memecah pertahanan 4-5-1 Port pada babak pertama tetapi puji persembahan Arif Aiman.
Tiga gol yang dihasilkan pada babak kedua perlawanan memastikan Harimau Selatan meraih tiga mata penting selepas tiga aksi peringkat kumpulan A.
Tuan rumah beraksi garang seawal minit perlawanan dan menghasilkan beberapa percubaan termasuk percubaan tepat kapten pasukan, Arif Aiman pada minit ke-27.
Bagaimanapun Port FC berjaya bertahan dan memastikan separuh masa berkesudahan seri tanpa jaringan.
Gol pertama muncul pada minit ke-57 menerusi rembatan Jonathan Silva selepas menerima hantaran Arif Aiman.
Penyerang gantian, Bergson Da Silva pula menghasilkan gol kedua pada minit ke-62 sebelum dikeluarkan akibat kecederaan.
Stoichkov yang masuk menggantikan Bergson memastikan kemenangan bergaya tuan rumah menerusi gol pada minit ke-86.
Selepas tiga perlawanan, JDT mengumpul tujuh mata selepas seri ke atas Buriram United dan menang dengan Pohang Steelers.
Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz mengakui berdepan kesukaran membolosi pertahanan lawan pada babak pertama namun gembira apabila pemain berjaya mengawal perlawanan sebelum mencipta gol ketiga pada separuh masa kedua.
Beliau juga gembira dengan persembahan Arif Aiman yang mengubah rentak perlawanan selain membantu gol.
“Memang sukar untuk menang apabila mereka menggunakan formasi sedemikian (4-5-1), dengan sembilan pemain sentiasa berada di barisan pertahanan sehingga menyukarkan kami untuk bermain secara terbuka.
“Kami banyak melakukan percubaan dari luar kotak penalti. Namun, permainan kami bertambah baik pada separuh masa kedua menerusi beberapa pertukaran pemain dan tekanan yang lebih tinggi terhadap benteng pertahanan lawan,” katanya.
Sementara itu Ketua Jurulatih Pot FC, Bozidar Bandovic terpaksa menerima kekalahan ketiga pasukannya dalam kempen ACLE kali ini dan mengakui JDT lebih mendominasi perlawanan berkenaan terutama pada babak kedua.
“Kami berdepan tekanan pada babak pertama apabila mereka melakukan beberapa percubaan menerusi hantaran silang dan rembatan dari luar kotak penalti.
“Kami turut melancarkan serangan balas dan memulakan babak kedua dengan baik, namun akhirnya dibolosi menerusi hantaran silang. Selepas gol kedua dan ketiga, keadaan menjadi semakin sukar buat kami,” katanya.