Gurauan Melampau: Mbappe mohon maaf kepada rakyat China

Kylian Mbappe / Foto AFP

BEIJING, 27 Oktober – Kylian Mbappe memohon maaf selepas beberapa jenama utama China menamatkan kerjasama dengannya susulan video tular yang memaparkan bintang bola sepak Perancis itu membuat gurauan mengenai bekas pemimpin China, Mao Zedong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mbappe mengakui komennya tidak wajar dan memahami ia menyinggung ramai pihak di China serta komuniti China di seluruh dunia.
  • Video tular mendakwa meme meletakkan wajah Mbappe pada imej seorang diktator China, namun kesahihan video itu belum disahkan.
  • Dongpeng, Mengniu dan Milkground menamatkan semua kerjasama dengan Mbappe susulan kontroversi.
  • Kementerian Luar amalkan larangan terhadap kenyataan yang melukakan perasaan rakyat China; CCTV menggantung siaran La Liga dan membuang iklan Mbappe.

Mbappe mengakui komennya tidak wajar dan memahami kenyataan itu telah menyinggung perasaan ramai pihak di China serta komuniti China di seluruh dunia.

Kontroversi itu tercetus selepas sebuah video menunjukkan penyerang Real Madrid berusia 27 tahun itu berkata meme internet paling lucu yang pernah dilihat membabitkan dirinya ialah gambarnya yang disunting pada wajah seorang lelaki yang disifatkannya sebagai “diktator China”.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada meme yang meletakkan wajah Mbappe pada imej Mao, namun kesahihan video berkenaan belum dapat disahkan segera oleh AFP Fact Check.

Susulan kontroversi itu, syarikat minuman Dongpeng menamatkan semua kerjasama dengan Mbappe, manakala pengeluar tenusu Mengniu dan syarikat keju Milkground turut mengambil tindakan sama.

Dongpeng dalam kenyataan berkata syarikat itu mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang tindakan yang dianggap menyinggung sentimen nasional.

Isu berkenaan turut mendapat reaksi rasmi kerajaan China.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata, sebarang tindakan yang melukakan perasaan rakyat China akan menerima kesan buruk.

“Kata-kata yang melukakan perasaan rakyat China secara semula jadi akan menerima penolakan sebulat suara daripada semua lapisan masyarakat China,” katanya pada sidang media, di sini.

La Liga turut memohon maaf dan menjelaskan komen Mbappe dibuat atas kapasiti peribadi serta tidak mewakili liga bola sepak Sepanyol itu.

Dalam pada itu, media kerajaan The Paper melaporkan China Central Television (CCTV) menggantung siaran semua perlawanan La Liga dan membuang iklan yang menampilkan Mbappe.

Bagaimanapun, perlawanan La Liga hujung minggu ini masih disenaraikan dalam jadual tontonan dalam talian di laman web CCTV.

Kontroversi membabitkan bintang sukan antarabangsa bukan perkara baharu di China, khususnya apabila melibatkan isu sensitif berkaitan politik dan sejarah negara itu.

Pada 2019, China turut menggantung beberapa kerjasama dengan Liga Bola Keranjang Kebangsaan Amerika Syarikat (NBA) selepas seorang eksekutif Houston Rockets menyatakan sokongan terhadap protes di Hong Kong. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.