
PUTRAJAYA, 27 Oktober – Kualiti udara di seluruh negara menunjukkan perkembangan positif apabila majoriti kawasan mencatatkan status baik dan sederhana setakat pukul 9 pagi tadi.
- Sebanyak 23 kawasan rekod kualiti udara baik, 44 sederhana, dan satu kawasan, Samalaju Sarawak, catat bacaan tidak sihat.
- Keadaan tidak sihat di Samalaju kebanyakannya berpunca daripada jerebu rentas sempadan dari titik panas di Kalimantan.
- Jabatan Alam Sekitar akan mempertingkatkan rondaan bagi membendung aktiviti pembakaran terbuka di kawasan berisiko seluruh negara.
- Orang ramai dinasihatkan kurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya, pakai pelitup muka; semak IPU melalui APIMS atau MyIPU.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, sebanyak 23 kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik, manakala 44 kawasan berada pada tahap sederhana.
Bagaimanapun, hanya satu kawasan, iaitu Samalaju, Sarawak, mencatatkan bacaan tidak sihat yang sebahagian besarnya berpunca daripada jerebu rentas sempadan.
Menurut beliau, kualiti udara di kebanyakan kawasan di Malaysia dijangka kekal pada tahap baik hingga sederhana bagi tempoh 27 hingga 31 Oktober ini.
“Namun, orang ramai diingatkan supaya terus berwaspada susulan cuaca kering di beberapa negara jiran yang berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, data pemantauan satelit pada 26 Oktober menunjukkan tiada titik panas dikesan di Malaysia mahupun Sumatera. Bagaimanapun, sebanyak 166 titik panas direkodkan di Kalimantan.
Tiupan angin dari arah timur laut hingga tenggara pula dikesan membawa kepulan asap dari kawasan titik panas di Kalimantan Timur ke arah barat laut Borneo, sekali gus menjejaskan kualiti udara di Sarawak.
Susulan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mempertingkatkan rondaan di kawasan berisiko bagi membendung aktiviti pembakaran terbuka di seluruh negara.
Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan terjejas seperti Samalaju, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti riadah di luar rumah, minum air kosong secukupnya dan memakai pelitup muka sekiranya perlu berada di luar.
Maklumat terkini mengenai Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh disemak menerusi portal rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di APIMS Jabatan Alam Sekitar atau aplikasi mudah alih MyIPU.