
KUALA LUMPUR 27 Oktober – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 6 November depan bagi membincangkan tarikh penting dan perkara berkaitan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak yang Ke-13.
- SPR telah menerima pemakluman rasmi pembubaran DUN Sarawak daripada Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.
- Pembubaran DUN Sarawak Ke-19 dinyatakan berkuat kuasa semalam.
- Menurut Perkara 21(4) Perlembagaan Sarawak, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.
- Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun akan mempengerusikan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh penting, persiapan pilihan raya dan sidang media selepas itu.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan memaklumkan, suruhanjaya itu secara rasmi telah menerima pemakluman pembubaran DUN Sarawak daripada Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar pada hari ini.
“Pemakluman itu memaklumkan pembubaran DUN Sarawak Ke-19 seperti termaktub bawah Perkara 21 (2) Perlembagaan Sarawak berkuat kuasa semalam.
“Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat Khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Sarawak yang Ke-13.
“Ia termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
“Satu sidang media turut akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut selesai,” tambah kenyataan itu.