LAWYes manfaatkan AI, tingkat kecekapan guaman

M Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Platform kecerdasan buatan (AI), LAWYes, diperkenalkan bagi membantu pengamal undang-undang meningkatkan kecekapan penyelidikan, penyediaan dokumen dan pengurusan kes.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan AI mesti disertai ketepatan maklumat, perlindungan kerahsiaan klien dan tanggungjawab profesional.
  • Teknologi AI tidak menggantikan pertimbangan peguam; ia menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti.
  • Setiap rujukan undang-undang yang dijana AI perlu disahkan untuk elakkan kesilapan dan autoriti tidak wujud.
  • Dibangunkan oleh Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail bersama YF Associates; rancangan 2027 termasuk jaket berkesejukan dengan NFC.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, penggunaan teknologi itu perlu disertai ketepatan maklumat, perlindungan kerahsiaan klien serta tanggungjawab profesional.

“Ini merupakan satu proses yang inovatif hasil usaha profesor yang berkebolehan untuk memudahkan akses kepada undang-undang.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan peguam, malah orang ramai, dan merupakan antara yang pertama seumpamanya. Kerajaan juga akan meneliti langkah yang boleh diambil bagi membantu menjayakan usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran LAWYes di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman di ibu negara hari ini.

Teknologi AI tidak seharusnya menggantikan pertimbangan peguam, sebaliknya menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti.

Menurut M Kulasegaran, setiap maklumat dan rujukan undang-undang yang dijana AI perlu disahkan bagi mengelakkan kesilapan, termasuk penggunaan kes atau autoriti undang-undang yang tidak wujud.

Inisiatif itu diharap dapat memperluas akses kepada perkhidmatan guaman yang lebih cekap dan mampu milik.

LAWYes dibangunkan Profesor Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama YF Associates Sdn. Bhd., dengan tumpuan kepada keperluan profesion perundangan.

“Usaha ini dapat meluaskan pengetahuan dan kemahiran undang-undang kepada lebih ramai anggota masyarakat.

“Pada 2027, kami juga akan melancarkan jaket khas untuk pengamal undang-undang yang mampu menyejukkan badan ketika cuaca panas bagi mengurangkan tekanan semasa bekerja.

“Jaket itu turut dilengkapi teknologi NFC yang membolehkan pengguna mengakses LAWYes hanya dengan menyentuh peranti bersesuaian,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.