
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kerajaan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan tuntutan saman sivil terhadap perkhidmatan ejen kutipan hasil syarikat, MyEG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Bhd.
- Kelewatan pemindahan wang hasil kerajaan hampir lima bulan, dari 19 Mei hingga 4 Oktober, menimbulkan kebimbangan serius.
- MyEG dan Zetrix gagal melangsaikan keseluruhan tunggakan kutipan hasil serta penalti dalam tempoh ditetapkan.
- Kerajaan memperketat kawalan: menaiktaraf Sistem Digital JPJ, Portal mySIKAP dan aplikasi MyJPJ, mengurangkan kebergantungan ejen pihak ketiga.
- JPJ keluarkan 35 notis, adakan empat sesi libat urus; cek RHB bernilai RM231 juta dari MyEG dilaporkan gagal ditunaikan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tindakan tegas tersebut diambil susulan kelewatan pemindahan wang hasil kerajaan selama hampir lima bulan, iaitu dari 19 Mei hingga 4 Oktober lalu.
Menurutnya, kedua-dua syarikat berkenaan gagal melangsaikan keseluruhan jumlah tunggakan kutipan hasil kerajaan beserta penalti dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kerajaan menegaskan bahawa wang kutipan hasil negara sama sekali tidak dibenarkan dijadikan sebagai sebahagian daripada dana operasi syarikat, sambil menyifatkan sebarang kelewatan penyerahan wang tersebut sebagai pelanggaran terma perjanjian yang amat serius,” tegasnya.
Kerajaan mempergiat beberapa langkah pembaharuan dan kawalan ketat bagi mengelakkan risiko ketirisan hasil terus berulang termasuk penaiktarafan Sistem Digital JPJ, Portal mySIKAP serta aplikasi MyJPJ bagi mengurangkan kebergantungan terhadap ejen pihak ketiga.
“Selain itu, cadangan pelaksanaan mekanisme Akaun Terimaan Kecil Perbendaharaan sedang diperhalusi bersama Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara bagi membolehkan kutipan disalurkan secara terus tanpa melalui akaun pihak ketiga.
“Ketiga, Modul Akaun Belum Terima (ABT) dalam sistem pengurusan hasil kerajaan akan diperketatkan untuk menghentikan transaksi secara automatik sekiranya ejen gagal memindahkan hasil dalam tempoh satu hari bekerja (T+1),” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 35 notis peringatan serta mengadakan empat sesi libat urus dan perbincangan khas bersama syarikat terbabit bagi menuntut bayaran tunggakan berkenaan.
Bagaimanapun, cek RHB Bank Berhad bernilai RM231 juta bertarikh 30 September yang dikemukakan oleh MyEG bagi menjelaskan tunggakan kutipan hasil sehingga 17 Ogos lalu dilaporkan gagal ditunaikan.