Nani Sahirah tekad pertahan emas pada AUG 2026

Nani Sahirah Maryata

PUTRAJAYA, 27 Oktober – Jaguh lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata, bertekad mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) edisi ke-22, sekali gus melakar penamat manis dalam penampilan terakhirnya di pentas temasya mahasiswa serantau itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jadikan AUG Disember sebagai medan pemanasan untuk membina momentum ke Sukan SEA 2027.
  • Sasaran peribadi melakukan lontaran melebihi 16 meter; memecah rekod kebangsaan dianggap bonus.
  • Mula perlahan sekitar 14 atau 15 meter akan menyukarkan persediaan; saingan junior tidak boleh dipandang mudah.

Atlet berusia 25 tahun itu menyifatkan temasya yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 20 Disember depan sebagai medan terbaik untuk memanaskan badan serta membina momentum menjelang misi lebih besar pada temasya Sukan SEA 2027.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter (m) itu meletakkan sasaran peribadi untuk melakukan lontaran melebihi 16 meter, selain tidak menolak kemungkinan memperbaharui rekod yang dicipta sebelum ini.

“Untuk perjalanan ke AUG kali ini, saya letakkan sebagai titik permulaan kerana saya mempunyai misi besar iaitu memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2027.

“Saya berharap sekurang-kurangnya dapat melakukan catatan 16 meter ke atas pada AUG 2026. Sekiranya permulaan agak perlahan dengan hanya sekitar 14 atau 15 meter, ia bakal menyukarkan persiapan saya.

“Sekiranya ada rezeki memecahkan rekod kebangsaan, itu adalah satu bonus,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pengenalan atlet AUG 2026 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai faktor usia, anak kelahiran Pahang itu mengakui statusnya sebagai atlet mahasiswa bakal berakhir,sehubungan dengan itu beliau enggan melepaskan peluang menghadiahkan kenangan terindah buat kontinjen negara.

“Harapan saya sangat tinggi untuk temasya kali ini. Walaupun mungkin ketiadaan pencabar utama terdahulu, saingan daripada atlet junior negara luar tidak boleh dipandang mudah.

“Sekiranya tidak dapat mencatatkan jarak terbaik sekalipun, fokus utama saya tetap sama iaitu memastikan pingat emas kekal menjadi milik Malaysia sebagai hadiah persembahan terakhir saya,” tambahnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.