Sureeya Shankar optimis buru emas pada AUG 2026

H. Sureeya Shankar

PUTRAJAYA, 27 Oktober – Pemegang pingat gangsa Sukan Asia, H. Sureeya Shankar optimis lakar sejarah peribadi apabila memburu kejuaraan hatrik pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang akan berlangsung Disember ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jaguh kumite negara bawah 60 kg yakin mengekalkan momentum menentang pesaing yang pernah bertemu di Sukan SEA.
  • Selepas buktikan kemampuan di pentas Asia, atlet 24 tahun tekad mengekalkan prestasi tinggi demi emas negara.
  • Ingat detik menang emas pertama usia 19; kerja keras jadi kunci, ini AUG terakhirnya, mahu tinggalkan memori manis.

Jaguh skuad kumite negara bagi acara bawah 60 kilogram (kg) lelaki itu optimis mampu mengekalkan momentum kecemerlangan di pentas Asia ke temasya dwitahunan universiti berkenaan, memandangkan sebahagian besar pencabar sudah biasa menjadi tentangan pada temasya Sukan SEA.

Selepas berjaya membuktikan kemampuan di peringkat tertinggi temasya Sukan Asia baru-baru ini, atlet berusia 24 tahun itu memasang tekad untuk memastikan kilauan emas menjadi milik negara.

“Keyakinan itu ada kerana sebelum ini saya pernah bertemu dengan atlet-atlet ini pada temasya Sukan SEA, yang turut bersaing di AUG. Saya harap mampu mempamerkan aksi terbaik.

“Selepas beraksi di peringkat yang lebih tinggi, saya perlu terus mengekalkan prestasi. Tiada had dan sasaran saya ingin memburu emas. Saya tidak boleh turunkan standard permainan dan akan buat apa sahaja untuk bawa pulang pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pengenalan atlet AUG 2026 di sini, hari ini.

Mengimbas kembali pembabitannya pada temasya berkenaan, Sureeya mengakui perjalanan itu bukan mudah terutama ketika merangkul emas pertamanya pada usia 19 tahun, namun kerja keras yang luar biasa menjadi kunci kejayaan untuk mempertahankan emas pada edisi kedua.

“Kali pertama beraksi di AUG memang ada rasa gementar sebab masih junior, baru 19 tahun. Tetapi usaha yang saya letakkan ketika itu sangat luar biasa untuk dapatkan emas. Begitu juga dengan edisi kedua.

“Ini adalah AUG terakhir saya, jadi saya tidak mahu meninggalkannya dengan memori buruk. Saya mahu mencipta sejarah untuk diri saya sendiri,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.