
DURIAN TUNGGAL, 27 Oktober – Program JELITA menerusi inisiatif Latihan Pecutan Intensif 12 Jam menjadi antara platform memperkasa wanita dengan kemahiran berasaskan industri bagi meningkatkan peluang pekerjaan, pendapatan dan mobiliti sosial.
- Memperkasa wanita dengan kemahiran berasaskan industri untuk meningkatkan peluang pekerjaan, pendapatan dan mobiliti sosial.
- Mengalihkan fokus daripada penyertaan kepada pemilikan kemahiran demi kepakaran, kepimpinan industri, inovasi teknologi dan pembangunan perusahaan wanita.
- Latihan singkat perlu disokong standard jelas, penilaian sesuai dan pengiktirafan industri supaya kemahiran memberi nilai berterusan dan menaikkan taraf hidup keluarga.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu penting bagi memastikan bakat wanita dimanfaatkan sepenuhnya dalam mendepani kemajuan teknologi serta keperluan industri masa hadapan.
“JELITA menawarkan 50 program pensijilan berasaskan industri melalui pendekatan latihan singkat dan fleksibel, khusus bagi membolehkan wanita meningkatkan kemahiran tanpa mengabaikan komitmen kerjaya dan keluarga,” jelas beliau.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, pendekatan itu selaras dengan keperluan negara beralih daripada penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada penguasaan kemahiran, kepakaran dan pemilikan dalam bidang ekonomi.
“Sudah tiba masanya kita bergerak daripada penyertaan kepada pemilikan. Kita mahu bakat wanita berkembang menjadi kepakaran yang membolehkan mereka memimpin industri, mencipta teknologi dan membangunkan perusahaan sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan JELITA Open Day – 12 Hours Sprint Training di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada 2025 sebanyak 56.6 peratus berbanding 83.3 peratus bagi lelaki menunjukkan masih terdapat ruang untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan.
“Latihan singkat perlu disokong standard yang jelas, penilaian bersesuaian dan pengiktirafan industri bagi memastikan kemahiran yang diperoleh peserta mempunyai nilai berterusan.
“Pendekatan itu mampu menjadikan JELITA sebagai ekosistem pembangunan wanita yang menghubungkan kemahiran dengan peluang ekonomi sebenar,” ujar beliau lagi.
Beliau berharap program berkenaan dapat membantu wanita meningkatkan taraf hidup keluarga, membina kestabilan ekonomi serta membuka peluang kepada generasi seterusnya.