
PUTRAJAYA, 27 Oktober – Sebanyak 110 biasiswa disediakan tahun ini bagi membantu atlet meneruskan pengajian, selain meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas menamatkan pengajian.
- KPT meneruskan inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran atlet dan membuka lebih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pengajian.
- Penyediaan tempat khas untuk atlet disediakan di beberapa universiti, termasuk Universiti Putra Malaysia.
- Lebih 35 peratus atlet yang mewakili Malaysia adalah mahasiswa institusi pendidikan tinggi, menyumbang pada pembangunan sukan negara.
- Malaysia akan menjadi tuan rumah AUG kali keempat, edisi ke-22 menjadi platform penting untuk memperkukuh pembangunan sukan di institusi tinggi ASEAN.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu penting bagi memastikan atlet bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang sukan, malah mempunyai kelayakan akademik dan peluang kerjaya lebih baik selepas menamatkan pengajian.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam kalangan atlet, selain membuka lebih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pengajian.
“Antaranya, penyediaan tempat khas untuk atlet di beberapa universiti, termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.
Menurut Datuk Seri Dr. Zambry, lebih 35 peratus atlet yang mewakili Malaysia terdiri daripada mahawiswa institusi pendidikan tinggi sekali gus menyumbang kepada pembangunan sukan negara.
Dalam pada itu, beliau berharap atlet negara yang bakal beraksi dalam temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang akan datang bakal memberikan prestasi terbaik sekali gus membawa kejayaan kepada Malaysia.
“Malaysia bakal menjadi tuan rumah AUG buat kali keempat, dengan 19 acara dipertandingkan bermula 16 Disember ini.
“Temasya edisi ke-22 itu menjadi platform penting dalam memperkukuh pembangunan sukan di peringkat institusi pendidikan tinggi ASEAN,” katanya.