LPT3 dilaksana menerusi penswastaan, kos ditanggung pembida

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi/ RTM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Cadangan pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) akan dilaksanakan secara penswastaan menerusi kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP) melalui bidaan dengan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pembida yang berjaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jajaran LPT3 sepanjang 122 kilometer menghubungkan Kampung Gemuruh, Terengganu dengan Tunjong, Kelantan.
  • Penyataan Keperluan Projek LPT3 telah dikemukakan kepada UKAS JPM untuk penyediaan dokumen RFP.
  • Dokumen RFP kini dalam penyediaan oleh UKAS JPM sebelum diangkat kepada pertimbangan Jemaah Menteri.
  • Projek KBKK 70.4 km mencapai 78.80 peratus kemajuan; pakej Pasir Hor-Kadok siap, lima pakej lain disasarkan siap menjelang 2027.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata berdasarkan kajian awal, jajaran LPT3 sepanjang 122 kilometer itu menghubungkan Kampung Gemuruh, Terengganu dengan Tunjong, Kelantan.

“Penyataan Keperluan Projek (SON) LPT3 telah pun dikemukakan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM) bagi tujuan penyediaan dokumen permintaan cadangan (RFP) dan seterusnya untuk diangkat kepada pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.

“Kini, cadangan ini masih di peringkat penyediaan dokumen RFP oleh UKAS JPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 bagi pihak kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) sepanjang 70.4 kilometer mencatatkan kemajuan keseluruhan 78.80 peratus berbanding 78.98 peratus mengikut jadual perancangan.

Datuk Seri Alexander berkata pakej jajaran Pasir Hor-Kadok telah siap dibina, manakala lima pakej lagi sedang dalam pembinaan dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.