Bekas pengarah FBI James Comey didakwa lagi

Foto AFP

WASHINGTON, 27 Oktober – Bekas Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), James Comey, sekali lagi berdepan pertuduhan jenayah berhubung dakwaan mendedahkan maklumat pertahanan negara kepada pihak yang tidak dibenarkan.

Menurut dokumen aduan jenayah yang didedahkan kepada umum pada Isnin, Comey didakwa menyampaikan maklumat berkenaan kepada individu yang tidak mempunyai kebenaran untuk menerimanya pada Oktober 2016, ketika beliau mengetuai FBI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa mendedahkan maklumat pertahanan kepada individu tanpa kebenaran pada Oktober 2016.
  • Ini kes jenayah ketiga; kes terdahulu tuduhan kenyataan palsu dan menghalang prosiding Kongres, pertuduhan digugurkan kerana pelantikan pendakwa tidak sah.
  • April lalu beliau didakwa berhubung hantaran Instagram "86 47" yang didakwa ancaman terhadap Presiden; Comey menafikan dakwaan itu.
  • Perkembangan itu berlaku selepas hakim memutuskan pemecatan anaknya Maurene pada Julai 2025 tidak sah dan mengarahkan pemulihan jawatan.

Ini merupakan kes jenayah ketiga yang dihadapinya, selepas beliau sebelum ini didakwa membuat kenyataan palsu kepada Kongres dan menghalang prosiding Kongres pada September 2025. Bagaimanapun, hakim persekutuan menggugurkan kes itu kerana pendakwa raya yang dilantik untuk mengendalikan kes berkenaan didapati tidak dilantik secara sah.

Pada April lalu, Comey sekali lagi didakwa berhubung hantaran Instagram yang memaparkan angka “86 47” menggunakan kulit kerang. Pentadbiran Presiden Donald Trump mendakwa angka itu membawa maksud ancaman terhadap nyawa presiden, namun Comey menafikan dakwaan berkenaan.

Mengulas pertuduhan terbaharu itu, Comey menegaskan beliau tidak bersalah dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai penyalahgunaan kuasa Jabatan Kehakiman.

Peguamnya, Patrick Fitzgerald, berkata dakwaan berkenaan pernah disiasat oleh pendakwa raya ketika pentadbiran Trump terdahulu, namun tiada pertuduhan dikenakan terhadap mana-mana pihak ketika itu.

Perkembangan terbaharu itu berlaku beberapa jam selepas seorang hakim persekutuan memutuskan pemecatan anak perempuan Comey, Maurene Comey, bekas pendakwa raya persekutuan di New York, pada Julai 2025 sebagai tidak sah.

Mahkamah mengarahkan Maurene dikembalikan ke jawatannya selepas mendapati haknya terhadap proses undang-undang yang sewajarnya telah dinafikan.

Beliau sebelum ini memfailkan saman terhadap Jabatan Kehakiman, dengan mendakwa pemecatannya berkait dengan kritikan bapanya terhadap Trump atau tanggapan mengenai kecenderungan politik serta kepercayaannya.

Sejak kembali memegang jawatan, Trump berulang kali mengambil tindakan terhadap individu dan institusi yang dianggap menentangnya, termasuk pegawai kerajaan, firma guaman serta universiti yang pernah terlibat dalam kes atau pertikaian dengannya.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.