
SUNGAI BESAR, 25 Oktober – Peluang kerjaya siswazah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam kalangan anak desa, bakal diperkukuh menerusi tiga inisiatif strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
- Perjanjian Kerjaya Premium TVET KKDW tentukan kompetensi, syarat penempatan dan pakej gaji bersama majikan sebelum pengambilan pelatih.
- TVET Jana Desa galakkan siswazah bina perusahaan tempatan dengan bimbingan perniagaan, pembiayaan dan akses pasaran.
- Bengkel Pintar dan Hijau TVET@KKDW hasilkan penyelesaian teknologi automasi, AI, pemantauan mesin dan kecekapan tenaga kurangkan kos operasi.
Inisiatif dijangka mampu menghubungkan latihan kemahiran dengan keperluan industri serta pembangunan perusahaan tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu merangkumi Perjanjian Kerjaya Premium TVET KKDW, TVET Jana Desa dan Bengkel Pintar dan Hijau TVET@KKDW, yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Kerjasama antara institusi latihan dengan majikan perlu bermula sebelum pelatih mengikuti program bagi memastikan kemahiran yang dibangunkan benar-benar menepati keperluan pasaran pekerjaan.
“Menerusi Perjanjian Kerjaya Premium TVET KKDW, kompetensi, syarat penempatan dan pakej gaji bagi program terpilih akan dipersetujui bersama majikan sebelum pengambilan pelatih, selain membabitkan industri dalam pembangunan kurikulum dan penilaian.
“Saya mahu kerjasama ini menghasilkan padanan pekerjaan yang baik, gaji permulaan setimpal dan laluan kemajuan kerjaya,” katanya ketika berucap merasmikan Expo TVET@KKDW 2026 di Stadium Sungai Besar di sini, hari ini.
Bagi TVET Jana Desa pula, siswazah digalakkan menggunakan kemahiran teknikal untuk membangunkan perusahaan sendiri dan mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan tempat tinggal mereka.
“Bidang seperti penyelenggaraan jentera pertanian, pam dan sistem penyejukan mempunyai potensi ekonomi setempat yang boleh dimanfaatkan, termasuk di Sungai Besar,” katanya.
Justeru, katanya, siswazah TVET perlu mendapat sokongan dalam aspek bimbingan perniagaan, pembiayaan dan akses pasaran supaya kemahiran yang dimiliki dapat dikembangkan menjadi perusahaan yang berdaya maju.
Sementara itu, Bengkel Pintar dan Hijau TVET@KKDW akan membuka ruang kepada pelatih, tenaga pengajar dan pihak industri untuk menghasilkan penyelesaian teknologi yang dapat meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi usahawan desa.
Antara bidang yang diberi perhatian termasuk automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), pemantauan mesin dan kecekapan tenaga.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, institusi TVET perlu turut bersedia menghadapi kemunculan teknologi baharu, termasuk teknologi kuantum, selain memperkukuh penguasaan AI.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Jabatan Teknologi Kuantum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang berpotensi dikembangkan menjadi sebuah fakulti.
“Bagi menyokong usaha memperkukuh ekosistem TVET negara, kerajaan meningkatkan peruntukan kepada RM8 bilion menerusi Belanjawan 2027 berbanding RM7.9 bilion tahun ini.
“Langkah itu turut melengkapi sasaran menempatkan 1,000 belia desa Bumiputera melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam sektor pertumbuhan tinggi, selain menggunakan kepakaran pendawaian GiatMARA bagi membaik pulih pendawaian di 20,000 rumah keluarga yang memerlukan,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah institusi TVET di seluruh negara meningkat daripada 1,398 kepada 1,996, terutama berikutan pertumbuhan institusi swasta, berdasarkan laporan yang dikemukakannya kepada Jemaah Menteri minggu lepas.