Malaysia antara negara terawal terima C-UAS Jepun

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Malaysia antara negara terawal menerima Sistem Pemintas Pesawat Tanpa Pemandu (C-UAS) menerusi program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem antidron akan ditempatkan di Sepanggar, Sabah dan Labuan untuk memperkukuh keupayaan negara menangkis ancaman dron.
  • Situasi geopolitik mencabar memerlukan kawalan ke atas perairan termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan.
  • Jepun membekalkan sistem C-UAS bernilai 1.65 bilion yen kepada TLDM menerusi OSA untuk tahun fiskal 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sistem antidron itu bakal ditempatkan di lokasi strategik termasuk Sepanggar, Sabah dan Labuan bagi memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman serangan dron.

Menurutnya, situasi geopolitik semakin mencabar memerlukan negara mempertahankan wilayah daratan dan maritim negara dengan aset pertahanan terkini.

“Kita perlu mengawal seluruh perairan kita, termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan. Kita juga sedia maklum bahawa Laut China Selatan adalah kawasan bertindih tuntutan wilayah, terutama membabitkan China, Vietnam dan Filipina.”

“Justeru, kita mesti memastikan keupayaan untuk mengekalkan kawalan ke atas domain maritim kita. Laut China Selatan turut menjadi gelanggang persaingan serta perselisihan antara kuasa besar. Oleh itu, kita mesti sentiasa bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-100 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di sini.

Jepun akan membekalkan sebuah sistem C-UAS bernilai 1.65 bilion yen atau kira-kira RM43 juta kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi program OSA bagi tahun fiskal 2026.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Datuk Seri Mohamed Khaled bersama Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi di Tokyo pada 20 Oktober lalu ketika lawatan kerja beliau ke negara itu.

Menurut Kementerian Luar Jepun, projek itu dijangka meningkatkan keupayaan keselamatan TLDM termasuk daripada segi pemantauan dan pengawasan sekali gus menjadi projek pertama Jepun membekalkan sistem C-UAS menerusi kerangka OSA.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.