Sukan Para Asia: Malaysia capai sasaran enam emas

Foto FB Majlis Sukan Negara

KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Kontinjen Malaysia berjaya merangkul enam pingat emas pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 setakat ini, sekali gus memenuhi sasaran ditetapkan bagi temasya berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MSN memuji semangat juang, dedikasi dan kegigihan atlet para dalam memberikan aksi terbaik di pentas antarabangsa.
  • Emas dicipta oleh atlet seperti Wong Kar Gee, Abdul Latif Romly, Bonnie Bunyau Gustin, Muhammad Zulkafli dan barisan beregu badminton.
  • Kontinjen kini mengumpul 27 pingat keseluruhan, termasuk lapan perak dan 13 gangsa, serta berada di kedudukan ke-11.

Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi hantaran di Facebook menyifatkan pencapaian kontinjen negara sebagai bukti semangat juang, dedikasi dan kegigihan atlet para dalam memberikan aksi terbaik di pentas antarabangsa.

“Setiap pingat yang diraih adalah lambang usaha, pengorbanan dan semangat juang yang tidak pernah luntur,” menurut hantaran itu.

MSN turut merakamkan penghargaan kepada seluruh atlet, jurulatih dan pasukan sokongan kontinjen Malaysia atas pencapaian berkenaan.

“Teruskan melakar kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia,” menurut MSN.

Enam emas negara disumbangkan menerusi kem olahraga para dengan dua emas, masing-masing oleh Wong Kar Gee dalam lompat jauh lelaki T12 dan Abdul Latif Romly dalam lompat jauh lelaki T20.

Badminton para pula menghadiahkan satu emas menerusi gandingan Cheah Liek Hou-Mohamad Faris Ahmad Azri dalam beregu lelaki SU5, manakala Ahmad Tarmizi Zuhairi menyumbang emas berbasikal para dalam ujian masa 1,000m lelaki C4-5.

Dua lagi emas hadir menerusi Bonnie Bunyau Gustin dalam powerlifting bawah 72 kilogram lelaki serta Muhammad Zulkafli dalam acara renang 100m kuak dada lelaki SB4.

Setakat ini, Malaysia turut mengumpul lapan pingat perak dan 13 gangsa, menjadikan keseluruhan 27 pingat.

Pencapaian itu meletakkan kontinjen negara di kedudukan ke-11.

China mendahului carta dengan 204 emas, 115 perak dan 108 gangsa, diikuti Jepun dengan 63 emas, 60 perak dan 62 gangsa.

Uzbekistan berada di tempat ketiga selepas mengumpul 45 emas, 49 perak dan 51 gangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.