Empat sindiket dadah tumpas, nilai rampasan RM16.2 juta

Foto BERNAMA

SHAH ALAM 23 Oktober – Empat sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa berjaya ditumpaskan polis Kontinjen Selangor menerusi lima siri serbuan berasingan di Klang, Rawang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 13 hingga 19 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai rampasan RM16.2 juta dan penahanan lapan individu disyaki terlibat rangkaian pengedaran dadah.
  • Jumlah dadah dirampas boleh menampung sehingga 800,000 pengguna pada satu-satu masa, menunjukkan ancaman serius kepada masyarakat.
  • Polis menyita harta milik empat suspek; premis sewa dan stor digunakan untuk pembungkusan semula; kes disiasat di bawah Seksyen 39B.

Operasi berkenaan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM16.2 juta serta penahanan lapan individu berusia antara 19 hingga 48 tahun yang disyaki terlibat dalam rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dengan kerjasama pasukan narkotik daerah serta Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam operasi kali ini dianggarkan boleh menampung penggunaan sehingga 800,000 pada satu-satu masa.

“Tangkapan dan rampasan ini membuktikan masih lagi wujud sindiket pengedaran dadah berskala besar yang aktif serta memberi ancaman serius kepada masyarakat.

“Sekali lagi kami mengingatkan masyarakat agar tidak terlibat sebagai keldai dadah dengan menerima tawaran lumayan untuk membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui isi kandungannya.

“Tindakan tersebut boleh mengundang implikasi undang-undang yang sangat serius,” katanya dalam sidang media disini.

Datuk Shazeli turut memaklumkan, polis menyita harta milik empat suspek, termasuk dua buah kereta sebuah motosikal serta wang tunai dalam mata wang tempatan dan asing, dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM54,835.

Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan pelbagai premis seperti kondominium sewa dan stor di kawasan kuil sebagai tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.