
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pembangunan kewangan Islam global berdasarkan Indeks Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2026.
- Prestasi kukuh dalam tiga indikator utama: prestasi kewangan, tadbir urus dan kemampanan.
- Prestasi kewangan disokong perkembangan perbankan Islam, takaful, sukuk dan dana pelaburan Islam.
- Aset kewangan Islam global meningkat, menurut laporan LSEG dan ICD yang dilancarkan sempena KLIFF 2026.
Menurut laporan itu, negara menduduki tempat pertama daripada 140 negara yang dinilai, dengan skor 136, mengatasi Arab Saudi yang mencatatkan 113 mata dan Emiriah Arab Bersatu, 95 mata.
“Kedudukan Malaysia disokong prestasi kukuh dalam tiga indikator utama iaitu prestasi kewangan, tadbir urus dan kemampanan.
“Bagi prestasi kewangan, Malaysia mendahului negara lain dengan skor 150, disokong perkembangan sektor perbankan Islam, takaful, sukuk dan dana pelaburan Islam.
“Malaysia turut mencatatkan skor tertinggi dalam tadbir urus iaitu 98, mencerminkan kekuatan rangka kerja kawal selia dan tadbir urus syariah dalam industri kewangan Islam negara,” menurut laporan itu.
Sementara itu, bagi indikator kemampanan, Malaysia memperoleh skor 156 berbanding Arab Saudi, 98, didorong prestasi kukuh dalam dana pelaburan Islam berteraskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta sukuk ESG.
Laporan yang diterbitkan London Stock Exchange Group (LSEG) dengan kerjasama Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD) itu turut menunjukkan aset kewangan Islam global meningkat sembilan peratus kepada AS$6.5 trilion pada 2025.
Laporan berkenaan dilancarkan sempena Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2026.