Vaksin anjing cegah penularan rabies

Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Awam Veterinar (DVS) Malaysia, Dr Norhaliza Abdul Halim/Foto RTM

PASIR MAS, 22 Oktober – Pemilik anjing di negeri yang bersempadan dengan Thailand, khususnya Kelantan, diseru memastikan haiwan peliharaan masing-masing menerima vaksin rabies bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rabies masih ancaman; langkah pencegahan berterusan diperlukan untuk melindungi manusia dan haiwan.
  • Vaksinasi mengikut jadual penting kerana anjing divaksin memperoleh imuniti pelindung terhadap jangkitan.
  • Rabies menyerang sistem saraf dan boleh menjangkiti melalui air liur, gigitan atau cakaran.
  • Jika digigit atau dicakar, cuci luka 15 minit dengan air mengalir dan sabun, kemudian dapatkan rawatan perubatan.

Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Awam Veterinar (DVS) Malaysia, Dr Norhaliza Abdul Halim berkata, rabies atau penyakit anjing gila masih menjadi ancaman yang memerlukan langkah pencegahan berterusan.

Menurutnya, pemvaksinan haiwan peliharaan mengikut jadual yang disarankan penting bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan, selain memastikan anjing tidak dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan.

“Anjing yang divaksin mempunyai ‘protective immunity’, iaitu imuniti terhadap penyakit itu. Jadi, sekiranya digigit, anjing berkenaan mempunyai perlindungan,”katanya ketika sidang media sempena Program Hari Rabies Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Pasir Mas, hari ini.

Beliau menjelaskan, rabies ialah penyakit berjangkit yang menyerang sistem saraf dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan melalui air liur haiwan yang dijangkiti, termasuk menerusi gigitan, cakaran atau pendedahan langsung kepada air liur berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 97 kes rabies dan 90 kematian akibat penyakit itu direkodkan di Malaysia bagi tempoh 2017 hingga 12 Oktober, berdasarkan data yang dinyatakannya.

Sehubungan itu, orang ramai yang digigit atau dicakar haiwan disaran segera mencuci luka menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit sebelum mendapatkan rawatan perubatan bagi penilaian risiko serta rawatan susulan.

Kesedaran dan kerjasama masyarakat dalam memastikan haiwan peliharaan menerima vaksin serta mendapatkan rawatan segera selepas terdedah kepada risiko jangkitan amat penting bagi membendung penularan rabies, sekali gus melindungi kesihatan awam dan keselamatan haiwan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.