
SEPANG, 22 Oktober – Kesungguhan seorang gadis Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran membuktikan bahawa kekurangan bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan.
- Jaheerah Nadzri, 33, OKU pembelajaran termasuk disleksia, mengusahakan perniagaan burger bersama bapanya.
- Eerah Burger di Kota Warisan beroperasi lima tahun, mencapai jualan sehingga 100 burger sehari.
- Kisah kegigihan Jaheerah tular dan mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Datuk Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan khas daripada Perdana Menteri, diharap menjadi pemangkin untuk perniagaan keluarga terus maju.
Jaheerah Nadzri,33, yang berdepan masalah pembelajaran termasuk disleksia, mencuri tumpuan ramai selepas kegigihan beliau mengusahakan perniagaan burger bersama bapanya, Nadzri Abd Majid,70, tular di media sosial baru-baru ini.
Perniagaan yang dikenali sebagai Eerah Burger dan beroperasi di Kota Warisan, Sepang sejak lima tahun lalu itu menunjukkan prestasi mengagumkan apabila mampu mencatatkan jualan hingga 100 biji burger sehari.
Kisah dan kegigihan Jaheerah ini mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menyantuni Jaheerah serta bapanya bagi menyampaikan sumbangan khas daripada Datuk Seri Anwar sebagai tanda keprihatinan dan dorongan untuk terus sukses dalam perniagaan.
“Meskipun merupakan insan OKU pembelajaran termasuk disleksia, semangat serta kesungguhan Jaheerah membuktikan bahawa kekurangan bukanlah halangan untuk berjaya,” kata Datuk Ahmad Farhan menerusi Facebooknya.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat menjadi pemangkin semangat agar perniagaan keluarga berkenaan terus berkembang maju serta menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.