
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), Fathurrahman Mahfudz, bagi bertukar pandangan mengenai gerakan dakwah Islam di Malaysia dan Indonesia serta perkembangan isu antarabangsa.
- Membincangkan cabaran yang dihadapi umat Islam masa kini.
- Hubungan dakwah Malaysia-Indonesia berasaskan legasi Mohammad Natsir dan Buya Hamka.
- Harapan agar DDII memperkukuh gerakan dakwah dan memperluas khidmat kepada masyarakat yang memerlukan.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata, pertemuan itu turut membincangkan cabaran yang dihadapi umat Islam ketika ini.
Beliau berkata, hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang dakwah turut berteraskan legasi tokoh dakwah dan negarawan Indonesia, Mohammad Natsir serta Buya Hamka, yang banyak menyumbang kepada perkembangan dakwah dan pemikiran Islam di Nusantara.
Datuk Seri Anwar turut berharap DDII terus memainkan peranan dalam memperkukuh gerakan dakwah serta memperluas khidmat kepada masyarakat yang memerlukan.
“Saya mendoakan agar DDII terus menyuluh jalan dakwah dan menyuburkan amal bakti agar ilmu menemukan jalannya ke hati, dan khidmat menjangkau mereka yang memerlukan.
“Semoga setiap ikhtiar menjadi teduh buat yang lelah, harapan buat yang resah, serta manfaat yang berpanjangan buat umat terbanyak,” katanya.