Malaysia raih RM453 juta potensi urus niaga eksport semikonduktor – MATRADE

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Malaysia meraih potensi urus niaga eksport bernilai RM453 juta (AS$110 juta) menerusi penyertaan 10 syarikat tempatan dalam pameran SEMICON West 2026 di San Francisco, Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencapaian tertinggi sejak Malaysia mula menyertai SEMICON West pada 2007.
  • Usaha menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Negara, galakkan aktiviti bernilai tambah tinggi dan kukuhkan rantaian bekalan domestik.
  • Pencapaian mencerminkan permintaan antarabangsa terhadap produk semikonduktor Malaysia termasuk komponen berketepatan tinggi dan peralatan semikonduktor.
  • MATRADE adakan pertemuan dengan SEMI dan pejabat Datuk Bandar Phoenix serta fasilitasi sesi rangkaian untuk buka peluang kerjasama antarabangsa.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memaklumkan, pencapaian itu merupakan yang tertinggi sejak penyertaan Malaysia dalam pameran industri semikonduktor berkenaan bermula pada 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof menerusi kenyataan berkata, penyertaan itu sebahagian daripada usaha mempercepat eksport semikonduktor negara, khususnya oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta memperluas pasaran ke Amerika Utara, Amerika Latin, Asia Tengah dan Afrika.

“Usaha ini menyokong aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), khususnya dalam menggalakkan syarikat Malaysia menceburi aktiviti bernilai tambah lebih tinggi serta memperkukuh keupayaan rantaian bekalan domestik,” katanya.

Pencapaian itu mencerminkan permintaan antarabangsa terhadap produk dan penyelesaian elektronik serta semikonduktor Malaysia, termasuk komponen berketepatan tinggi, peralatan semikonduktor dan komponen elektrik.

Sepanjang pameran itu, MATRADE turut mengadakan pertemuan dengan organisasi industri SEMI dan pejabat Datuk Bandar Phoenix, selain memudah cara sesi rangkaian perniagaan bagi membuka peluang kerjasama dan menghubungkan syarikat tempatan dengan bakal pelanggan antarabangsa.

MATRADE akan terus membantu pengeksport tempatan meningkatkan daya saing, membina kerjasama strategik dan memperluas penglibatan dalam rantaian nilai global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.