
SUNGAI PETANI, 20 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 3,383 paket minyak masak bersubsidi bernilai RM8,457.50 dalam serbuan di sini semalam yang berselindung di sebalik perniagaan pakaian terpakai (bundle).
- Serbuan di Kawasan Industri Ringan Kemuning kira-kira pukul 2.00 petang selepas risikan dan maklumat orang awam.
- Dua lelaki berusia 18 dan 26 ditahan; mereka mengaku adik-beradik dan gagal mengemukakan lesen atau dokumen sah.
- Minyak masak subsidi disimpan tanpa kebenaran Pengawal Bekalan; siasatan giat untuk kenal pasti sumber bekalan dan destinasi pengedaran.
- Kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961; hukuman termasuk denda besar dan penjara. Orang ramai diminta lapor melalui WhatsApp 019-848 8000 atau e-Aduan.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan di sebuah premis di Kawasan Industri Ringan Kemuning, kira-kira pukul 2.00 petang itu dilakukan susulan risikan sejak minggu lalu berdasarkan maklumat orang awam.
Menurutnya, penguat kuasa terpaksa menunggu lebih empat jam sebelum premis berkenaan dibuka oleh dua lelaki berusia 18 dan 26 tahun yang mengaku sebagai adik-beradik serta anak kepada pemilik premis.
“Ketika serbuan dilakukan, terdapat dua lelaki di premis berkenaan. Pemeriksaan lanjut mendapati minyak masak paket bersubsidi disimpan di dalam premis tanpa kebenaran Pengawal Bekalan,” katanya.
Muhammad Nizam berkata pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki itu gagal mengemukakan lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual berkenaan.
Katanya, kedua-duanya ditahan untuk membantu siasatan termasuk mengenal pasti tempoh kegiatan itu dijalankan, sumber bekalan minyak masak serta destinasi pengedaran.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Muhammad Nizam turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya barangan bersubsidi, menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000 atau portal e-Aduan KPDN di http://eaduan.kpdn.gov.my.