
KUCHING, 20 Oktober – Seorang buruh ditahan selepas mengaku memukul isteri dan anak lelakinya hingga cedera di sebuah rumah panjang di Gerigat, Kabong.
- Kejadian berlaku kira-kira 8 malam pada 18 Oktober susulan perselisihan faham antara pasangan.
- Punca dipercayai kerana suspek marah selepas ditegur isterinya mengenai tabiat mengambil minuman keras.
- Suspek mengaku berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
- Wanita 27 tahun lebam kening kanan, anak 7 tahun cedera kening kiri; kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 18A.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku kira-kira 8 malam pada 18 Oktober lalu susulan perselisihan faham antara pasangan berkenaan.
“Punca kejadian dipercayai kerana suspek berasa marah selepas ditegur isterinya berhubung tabiat mengambil minuman keras.
“Suspek turut mengaku berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian,” katanya kepada RTM.
Menurutnya, wanita berusia 27 tahun itu mengalami lebam pada kening kanan, manakala anak mereka berusia tujuh tahun cedera pada kening kiri selepas dipukul menggunakan tangan.
Susulan laporan polis dibuat mangsa, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) menahan suspek di tepi Jalan Gerigat, Kabong, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.