Badminton Terbuka Denmark: TPM ucap tahniah kepada skuad beregu badminton negara

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah atas kejayaan menjuarai acara beregu wanita Kejohanan Badminton Terbuka Denmark 2026 serta beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul naib juara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pearly Tan dan M. Thinaah menjuarai beregu wanita Terbuka Denmark, menang 21-18, 21-11 di Odense.
  • Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadi naib juara beregu lelaki selepas tewas 8-21, 11-21.
  • Semangat juang dan komitmen pasangan dipuji, diharap menjadi pembakar semangat untuk lebih kejayaan negara.

Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, beliau berkata pencapaian kedua-dua pasangan itu wajar diberi pujian dan diharap menjadi pembakar semangat buat atlet negara untuk terus melakar kejayaan di pentas dunia.

“Semangat juang dan komitmen tinggi yang ditampilkan sepanjang kejohanan wajar diberi pujian. Semoga pencapaian ini menjadi pembakar semangat buat atlet negara untuk terus melakar lebih banyak kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya.

Pearly-Thinaah muncul juara selepas menewaskan beregu wanita Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita, 21-18, 21-11 dalam aksi final selama 36 minit di SJ Bank Arena, Odense, Denmark, pada Ahad lepas.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik tewas kepada beregu lelaki Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, 8-21, 11-21 dalam tempoh 31 minit untuk muncul naib juara.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.