Organisasi media perlukan garis panduan AI yang jelas

Datuk Ashwad (dua dari kiri) bergambar selepas merasmikan Persidangan SEARCH Antarabangsa Taylor’s Ke-9 / Foto RTM

SUBANG JAYA, 19 Oktober – Organisasi media perlu membangunkan garis panduan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara bertanggungjawab, khususnya dalam menangani isu berkaitan bakat dan hak cipta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Organisasi media perlu garis panduan AI jelas untuk penggunaan bertanggungjawab, khususnya menangani isu bakat dan hak cipta.
  • Kerjasama antara organisasi media negara dan rantau ASEAN diperlukan bagi mencadangkan kerangka perundangan AI yang lebih jelas.
  • Perpaduan akademia dan industri penting supaya penyelidikan berteraskan aplikasi dunia sebenar dan penyelesaian praktikal dapat dihasilkan.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, teknologi baharu menawarkan pelbagai manfaat dalam memudahkan urusan kerja dan kehidupan seharian, namun penggunaannya turut membawa risiko sekiranya tidak disokong kerangka yang jelas.

“Selain garis panduan, kita juga memikirkan bagaimana untuk bekerjasama dengan seluruh organisasi media di negara ini dan rantau ASEAN bagi mengemukakan cadangan yang lebih baik dalam membantu menghasilkan kerangka perundangan AI yang lebih jelas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan SEARCH Antarabangsa Taylor’s Ke-9 di Universiti Taylor’s, di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Ashwad berkata, perubahan pesat industri media menuntut hubungan lebih erat antara golongan akademik dengan penggiat industri supaya perkembangan ilmu dapat bergerak seiring keperluan semasa.

“Masa depan menuntut kedua-dua dunia ini bersatu kerana penyelidikan tanpa aplikasi dunia sebenar berisiko terputus hubungan dengan masyarakat dan industri.

“Sebaliknya, industri tanpa penyelidikan berisiko membuat keputusan tanpa kefahaman yang mencukupi,” katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan untuk institusi pengajian tinggi terus mencabar pemikiran konvensional, manakala penyelidik dan pemimpin industri saling terbuka dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran baharu.

“Kita memerlukan universiti yang mencabar pemikiran konvensional, penyelidik yang mengemukakan soalan sukar dan pemimpin industri yang bersedia mendengar, mencuba dan kadangkala mengakui mereka tidak mempunyai semua jawapan,” katanya.

Mengulas mengenai Persidangan SEARCH Antarabangsa Taylor’s Ke-9, Datuk Ashwad berkata, ia menghimpunkan ahli akademik dan penggiat industri bagi membincangkan perkembangan penyelidikan serta cabaran semasa dalam bidang media, komunikasi dan teknologi.

Beliau berharap persidangan itu bukan sahaja mencetuskan idea bagi penghasilan kertas penyelidikan baharu, malah penyelesaian praktikal yang mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.