PM hargai pengorbanan warga MOF siapkan Belanjawan 2027

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan./ BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada warga Kementerian Kewangan (MOF) atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam memastikan Belanjawan 2027 dapat disiapkan dengan teliti, termasuk bekerja siang dan malam sepanjang proses penyediaannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyediaan Belanjawan memerlukan kerjasama menyeluruh kementerian, jabatan dan kerajaan negeri bagi menghimpun input sebelum dokumen dimuktamadkan.
  • Pengorbanan pegawai sering tidak disedari tetapi penting memastikan dasar dan peruntukan memenuhi keperluan rakyat.
  • Perdana Menteri ingatkan warga Perbendaharaan supaya melaksanakan amanah dengan sabar, bijaksana dan keikhlasan.

Beliau berkata, penyediaan belanjawan bukan hanya melibatkan Perbendaharaan, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh jentera kerajaan termasuk kementerian, jabatan dan kerajaan negeri yang menyumbangkan input serta cadangan sebelum dokumen itu dimuktamadkan.

Menurutnya, pengorbanan pegawai kerajaan dalam merangka belanjawan sering tidak disedari masyarakat umum, meskipun usaha itu penting bagi memastikan dasar dan peruntukan yang dirancang dapat memenuhi keperluan rakyat.

“Rakyat umum mungkin tidak tahu bahawa merangka belanjawan itu memerlukan sumbangan, khidmat dan pengorbanan yang tinggi.

“Saya percaya ramai dalam kalangan rakyat ingin menyatakan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang telah menjalankan tugas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Warga MOF bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata, beliau turut memantau proses penyediaan belanjawan berkenaan, termasuk pengorbanan pegawai yang terpaksa bermalam di pejabat bagi menjaga kerahsiaan tugas serta memenuhi tuntutan tanggungjawab.

Katanya, Belanjawan 2027 dirangka dengan matlamat menyantuni pelbagai lapisan masyarakat dan memberikan manfaat secara menyeluruh, walaupun kerajaan menyedari tidak semua keputusan mampu memenuhi kehendak setiap pihak.

Usaha itu, jelasnya, memerlukan penelitian terhadap pelbagai pandangan dan keperluan rakyat, termasuk petani, nelayan, pekerja serta golongan yang berdepan tekanan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan warga Perbendaharaan supaya terus melaksanakan amanah dengan sabar dan bijaksana, selain tidak mudah tersinggung dengan kritikan terhadap dasar serta pendekatan kerajaan.

Beliau menegaskan, setiap penjawat awam perlu berpegang kepada prinsip tanggungjawab dan keikhlasan, serta memastikan dasar yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.