
SAADA, 19 Oktober – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala, 23 lagi cedera dalam serangan udara yang didakwa dilancarkan Arab Saudi ke atas sebuah rumah di wilayah Saada, utara Yaman.
- Houthi menyatakan serangan udara didakwa dilancarkan Arab Saudi ke atas sebuah rumah di wilayah Saada.
- Kementerian Luar Negeri Houthi berkata kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
- Rakaman pro-Houthi menunjukkan penduduk mengeluarkan mangsa, termasuk kanak-kanak, dari runtuhan di al-Tawila, daerah Sahar.
- Kerajaan Yaman yang diiktiraf dakwa tenteranya melancarkan 1,417 operasi tepat dalam 24 jam menerusi Operasi Fajar Yaman.
Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat yang dikendalikan Houthi menerusi kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Berdasarkan rakaman video yang disiarkan media pro-Houthi menunjukkan penduduk berusaha mengeluarkan mangsa yang terselamat termasuk kanak-kanak dari timbunan runtuhan dekat kawasan al-Tawila, daerah Sahar.
Sebuah jentolak turut digunakan bagi membersihkan serpihan timbunan di lokasi.
Menurut kumpulan Houthi, rumah berkenaan merupakan millik penduduk tempatan Ali al-Qahm yang musnah sepenuhnya akibat serangan itu.
Selain itu, Kementerian Kesihatan melaporkan mangsa yang maut merupakan lima kanak-kanak dan dua wanita selain, mangsa yang cedera merangkumi 11 kanak-kanak serta lapan wanita dengan sebahagian mereka dalam keadaan kritikal.
Bagaimanapun, Arab Saudi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan Houthi mengenai serangan terbabit.
Dalam perkembangan berasingan, Kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa mendakwa tenteranya melancarkan sebanyak 1,417 operasi serangan tepat dalam tempoh 24 jam menerusi Operasi Fajar Yaman.
Yaman terus bergolak sejak 2014 apabila kumpulan Houthi menguasai ibu negara, Sanaa dengan sebahagian besar wilayah utara.
Konflik berpanjangan tersebut memusnahkan infrastruktur negara berkenaan serta mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius.-VIORY