Trump pertahan keputusan ketepikan sekatan terhadap Rusia

Donald Trump/ AFP

WASHINGTON, 19 Oktober – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempertahankan keputusannya mengetepikan sebahagian sekatan terhadap Rusia, sambil sekali lagi mendakwa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, tidak mahu menamatkan perang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump menandatangani perintah eksekutif mengetepikan pelaksanaan sekatan baharu terhadap Rusia.
  • Pengecualian sementara ke atas diesel Rusia dibenarkan untuk turunkan harga bahan api menjelang pilihan raya.
  • Langkah mengejutkan Kiev, meruncingkan hubungan dengan Zelensky dan dikaitkan dengan kemajuan rundingan termasuk pembebasan tebusan.

“Keputusan saya berhubung Rusia sangat mudah. Saya sedang mengusahakan rundingan damai bagi menamatkan perang antara Rusia dengan Ukraine dan tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan Rusia meninggalkan meja rundingan,” tulis Trump menerusi platform Truth Social.

Kenyataan itu menyusuli tindakan Trump menandatangani perintah eksekutif pada Jumaat bagi mengetepikan pelaksanaan sekatan baharu secara menyeluruh.

Trump turut memberikan pengecualian sementara terhadap sekatan ke atas diesel Rusia, sekali gus membolehkan bekalan bahan api itu dalam kuantiti besar memasuki pasaran global bagi mengurangkan harga bahan api menjelang pilihan raya AS pada awal bulan depan.

Keputusan berhubung diesel itu mengejutkan Kiev dan sekutunya, selain mencetuskan pertelingkahan antara Trump dengan Zelensky sehingga hubungan kedua-dua pemimpin itu kembali meruncing.

“Kemajuan besar sedang dicapai” dalam rundingan berhubung perang itu, termasuk rundingan semasa berkaitan pembebasan tebusan, kata Trump.

Beliau turut menyatakan bahawa menandatangani dokumen berkenaan pada masa ini akan membawa kesan tertentu, namun beliau boleh menandatanganinya kemudian atau pada bila-bila masa yang dikehendaki.

Bagaimanapun, White House tidak segera memberikan maklum balas berkenaan kenyataan Trump berhubung dokumen yang dimaksudkan menerusi hantaran tersebut.

“Barangkali lebih penting, Rusia tidak banyak membantu Iran, jika ada sekalipun, berbanding bantuan yang mampu diberikannya.

“Saya mahu keadaan itu berterusan dan akan memastikan demikian, melainkan ada pihak yang bertindak bodoh menghalangnya,” tambah Trump.

Beliau kemudian mengulangi tuduhan bahawa Ukraine sengaja menyasarkan loji penapisan minyak Rusia bagi menjejaskan Parti Republikan menjelang pilihan raya pada 3 November.

Tinjauan pendapat menunjukkan parti Trump berdepan kemungkinan kekalahan besar dalam pilihan raya itu, ketika ramai pengundi tidak berpuas hati dengan kos bahan api yang meningkat sejak perang Iran bermula pada akhir Februari.

“Zelensky menyasarkan loji penapisan diesel di Rusia kerana mengetahui serangan itu memberi kesan serius terhadap pasaran diesel global, termasuk di Amerika Syarikat.

“Zelensky tidak mengambil peduli dan, sejujurnya, dengan semua wang diberikan Eropah kepadanya serta bantuan yang diberikan oleh Joe Biden sebelum ini, dia tidak mahu menamatkan perang ini dan mungkin sejak awal lagi tidak pernah mahu berbuat demikian,” tambahnya.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.