
TIRANA, 16 Oktober – Perdana Menteri Albania, Edi Rama, menggesa orang ramai bertenang sambil mendakwa campur tangan pihak asing menjadi punca rusuhan ganas yang berlarutan beberapa hari, ketika penunjuk perasaan kembali berhimpun di ibu negara, Tirana, dan beberapa bandar lain.
- Protes sejak Selasa menuntut peletakan jawatan Rama kerana kemudahan universiti tidak memuaskan dan yuran tinggi.
- Perhimpunan merebak ke beberapa bandar; pelajar boikot universiti, menambah ketegangan setelah demonstrasi berbulan-bulan.
- Perlanggaran dengan polis: pintu Kementerian Kewangan dibakar, tingkap universiti dipecahkan, gas pemedih mata dan meriam air digunakan.
- Rusuhan sebabkan kerosakan meluas; premis perniagaan dipecahkan, barang dicuri, puluhan ditahan dan beberapa cedera.
Rusuhan yang tercetus sejak Selasa menyaksikan ribuan penunjuk perasaan mendesak peletakan jawatan Rama berikutan isu kemudahan universiti yang tidak memuaskan serta yuran pengajian tinggi yang membebankan.
Protes turut merebak ke beberapa bandar lain apabila pelajar menyertai boikot universiti, sekali gus meningkatkan ketegangan selepas berbulan-bulan demonstrasi antip kerajaan berlangsung di negara Balkan itu.
Pertembungan antara polis dengan kumpulan penunjuk perasaan yang kebanyakannya bertopeng berlarutan hingga awal pagi Jumaat, dengan pintu masuk Kementerian Kewangan dibakar manakala tingkap sebuah kompleks universiti dipecahkan.
Menurut kenyataan polis, seramai 160 penunjuk perasaan ditahan kerana melakukan keganasan pada malam Khamis.
Penunjuk perasaan turut membakar tong sampah bagi menyekat jalan raya serta membaling batu ke arah polis, yang bertindak menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan kumpulan berkenaan.
Kumpulan bertopeng juga dilaporkan memecahkan cermin hadapan premis perniagaan dan melakukan kegiatan mencuri barangan, manakala ratusan penunjuk perasaan berarak menuju ke Kementerian Pendidikan pada pagi Jumaat.
Rusuhan itu mengakibatkan kerosakan teruk pada bangunan kerajaan dan premis perniagaan, selain menyaksikan puluhan individu ditahan serta beberapa orang cedera.
Peningkatan ketegangan minggu ini menyusuli protes antip kerajaan selama beberapa bulan yang pada awalnya tercetus susulan pembangunan sebuah projek resort kontroversi yang dikaitkan dengan keluarga Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam kenyataan video yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat, Rama menegaskan demonstrasi itu tidak berkaitan dengan kesusahan rakyat, masalah yang dihadapi mereka atau tuntutan sah untuk menikmati kehidupan lebih baik.
Sebaliknya, beliau mendakwa terdapat pihak asing yang menghasut kekacauan bagi menggugat keamanan Albania serta menjejaskan usaha negara itu menyertai Kesatuan Eropah (EU).
Pihak berkuasa memaklumkan puluhan individu, kebanyakannya anggota polis, cedera dalam pertempuran sejak demonstrasi bermula pada Selasa.-AFP