Bumbung sekolah di Peshawar runtuh, 33 maut

33 maut termasuk seorang guru wanita dalam kejadian bumbung runtuh di Peshawar/ AFP

PESHAWAR, 15 Oktober – Seramai 33 orang, termasuk seorang guru wanita maut selepas bumbung sebuah sekolah runtuh di sini pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebanyakan mangsa ialah pelajar berumur antara empat hingga 14 tahun.
  • Pasukan penyelamat serta penduduk bertungkus lumus mengeluarkan mangsa; 20 cedera, tiga kanak-kanak dirawat akibat kecederaan kepala.
  • Kejadian dikaitkan dengan infrastruktur lemah; pemilik ditahan, siasatan dan seruan tindakan tegas untuk elakkan tragedi berulang.

Pegawai kesihatan memaklumkan, kebanyakan pelajar yang terkorban berusia antara empat hingga 14 tahun.

Kejadian itu turut menyebabkan 20 pelajar cedera dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala penduduk serta pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan kanak-kanak yang terperangkap di bawah runtuhan.

Pihak berkuasa menyifatkan kejadian itu berpunca daripada keadaan infrastruktur yang lemah.

Penduduk setempat, Sohail, berkata, keadaan menjadi kelam-kabut selepas anak saudaranya berjaya menyelamatkan diri dari bangunan berkenaan dan pulang untuk memaklumkan kejadian itu kepada keluarga.

“Semua orang mula menjerit dalam keadaan panik. Sebaik tiba di lokasi, kira-kira 10 hingga 15 kanak-kanak dilihat terperangkap di bawah runtuhan.

“Timbunan serpihan sehingga ke paras leher mangsa. Kami segera mengeluarkan mangsa dalam runtuhan itu,” katanya.

Asim Khan dari Hospital Lady Reading di Peshawar berkata, kebanyakan pelajar yang cedera dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Bagaimanapun, tiga kanak-kanak yang mengalami kecederaan parah di kepala masih dirawat di hospital.

Jurucakap perkhidmatan penyelamat kecemasan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Bilal Ahmad Faizi, berkata, pelajar tertimbus dan terperangkap selepas bumbung bangunan berkenaan runtuh.

“Apabila pasukan penyelamat tiba di lokasi, mereka mendapati struktur bumbung telah runtuh menimpa bumbung lain, menyebabkan bilik darjah di bawah struktur itu remuk dan pelajar terperangkap di dalam kelas masing-masing,” katanya.

Seorang pegawai yang enggan dikenali di Peshawar berkata, laporan awal menunjukkan kejadian itu berkemungkinan berpunca daripada infrastruktur yang lemah dan pemilik sekolah telah ditahan.

Mayat mangsa yang dibalut dengan kain putih dilihat dibawa keluar dari hospital, sementara sukarelawan turut hadir bagi membantu mengenal pasti mangsa.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menyatakan kesedihan mendalam atas kehilangan nyawa dalam tragedi itu.

Dalam satu kenyataan, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta kesabaran untuk menghadapi kehilangan yang tidak dapat diganti itu.

Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, pula menyifatkan kejadian berkenaan sebagai tragedi yang menyayat hati.

Seorang penduduk, Sher Ahmed menyifatkan penggunaan bahan binaan pad struktur tersebut tidak menepati piawaian dan menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab bagi mengelakkan tragedi seumpama itu berulang.

Kejadian bumbung dan bangunan runtuh kerap berlaku di Pakistan, antara lain dikaitkan dengan kelemahan piawaian keselamatan dan penggunaan bahan binaan yang tidak berkualiti.

Pada Jun lalu, lebih 10 kanak-kanak maut apabila bumbung sebuah pusat tuisyen runtuh di Lahore, di timur negara itu.

Pada 2025, seramai 27 orang maut manakala 10 lagi cedera apabila sebuah bangunan lima tingkat runtuh di kawasan berpendapatan rendah Lyari, Karachi, di selatan Pakistan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.