Ekspatriat Arab cedera akibat serpihan peluru berpandu Houthi di Riyadh

Foto fail / AFP

ISTANBUL, 14 Oktober – Seorang ekspatriat Arab cedera selepas serpihan peluru berpandu balistik Houthi yang berjaya dipintas, jatuh di ibu negara Arab Saudi, Riyadh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serpihan peluru berpandu menyebabkan kerosakan kecil pada sebuah bangunan kediaman dan sebuah kenderaan.
  • Pasukan kecemasan Pertahanan Awam dikerahkan ke lokasi bagi menangani kejadian serpihan terjatuh.
  • Saksi melaporkan terdengar empat letupan susulan amaran serangan udara di Riyadh.
  • Arab Saudi terus berdepan serangan peluru berpandu dan dron seiring peningkatan permusuhan dengan Houthi sejak Julai.

Serpihan peluru berpandu balistik itu turut mengakibatkan kerosakan kecil pada sebuah bangunan kediaman dan sebuah kenderaan.

Pertahanan Awam Arab Saudi menerusi kenyataan memaklumkan, pasukan kecemasan dikerahkan ke lokasi bagi menangani kejadian serpihan peluru berpandu yang terjatuh itu.

Bagaimanapun, kewargenagaraan ekspatriat tersebut tidak didedahkan.

Terdahulu, jurucakap pakatan pimpinan Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki al-Maliki, mengumumkan kejayaan memintas peluru berpandu balistik Houthi yang menyasarkan Riyadh pada Rabu.

Saksi melaporkan terdengar empat letupan di Riyadh susulan amaran serangan udara.

Arab Saudi berdepan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron, ketika permusuhan dengan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak.

Arab Saudi mengetuai pakatan ketenteraan bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sejak 2015 dalam konflik menentang Houthi, yang menguasai Sanaa dan beberapa wilayah lain sejak 2014.

Peningkatan konflik terbaharu bermula pada Julai selepas gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 2022 runtuh.-BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.