Belanjawan 2027 lebih menyeluruh, sokong kesejahteraan M40

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Peluasan bantuan kerajaan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) menerusi Belanjawan 2027 dilihat mampu meringankan cabaran kos sara hidup, khususnya bagi isi rumah di kawasan bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan kini mengambil kira keperluan M40 selain B40, mengiktiraf komitmen kewangan dan beban hidup golongan berpendapatan sederhana.
  • Bantuan persekolahan RM200 setiap anak diumumkan, memberi sokongan langsung untuk mengurangkan kos pendidikan isi rumah.
  • Pelaksanaan bersasar perlu supaya bantuan menyeluruh benar benar meringankan beban kewangan isi rumah M40 di bandar.

Pengarah Strategi KRA Group Amir Fareed Rahim berkata, pendekatan itu menunjukkan bantuan kerajaan bukan lagi tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah (B40), sebaliknya turut mengambil kira keperluan M40 yang selama ini berdepan pengurusan komitmen kewangan.

Bantuan berkaitan persekolahan anak, termasuk peruntukan RM200 bagi setiap anak, merupakan antara bentuk sokongan kewangan yang dapat membantu keluarga mengurangkan beban perbelanjaan, walaupun tidak semestinya dilihat sebagai bantuan tunai secara langsung.

“Saya rasa tambahan kali ini adalah peningkatan sedikit dari segi bantuan tunai itu bukan sahaja untuk B40, tetapi juga meliputi M40, contohnya bantuan anak masuk ke sekolah, RM200 seorang dan Perdana Menteri juga kata kalau ada empat orang dapat RM800.

“Kita faham B40 kehidupan sukar, tetapi bantuan dari segi bantuan, kerajaan telah banyak melaksanakan ikhtiar terhadap B40 dan golongan M40 selalu ketinggalan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Perhatian terhadap M40 penting memandangkan isi rumah khususnya di bandar turut berdepan tekanan kewangan akibat peningkatan kos keperluan harian dan perbelanjaan keluarga.

Bantuan yang lebih menyeluruh berpotensi meningkatkan kesejahteraan isi rumah sekiranya dilaksanakan secara bersasar dan mengambil kira beban kewangan yang ditanggung golongan berpendapatan sederhana.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.