Belanjawan 2027: Membina kestabilan hidup warga PPR

Foto fail RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan Belanjawan mesti diterjemah kepada bantuan berterusan yang meningkatkan pendapatan stabil dan keberlanjutan setelah program tamat.
  • Keupayaan membayar dinilai berdasarkan baki selepas keperluan asas, bukan hanya kadar sewa.
  • Pembangunan pendapatan perlu bermula dengan penilaian permintaan pasaran, saluran jualan dan kos operasi sebelum memberi latihan atau peralatan.
  • Pentadbiran harus telus, akaun jelas, penyelarasan agensi, penyelaras PPR tersedia, dan perlindungan maklumat serta kriteria bantuan terperinci.

Sewa RM124 sebulan mungkin kelihatan kecil bagi mereka yang mempunyai pendapatan tetap. Namun, bagi keluarga yang bergantung pada kerja harian atau jualan tidak menentu, jumlah itu tetap perlu diperuntukkan selepas makanan, pengangkutan, utiliti dan keperluan anak-anak.

Apabila hampir seluruh pendapatan digunakan untuk keperluan asas, sewa yang rendah juga boleh menjadi komitmen yang sukar dipenuhi.

Keadaan ini perlu difahami ketika menilai sokongan Belanjawan 2027 kepada komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR). Peruntukan dan program yang diumumkan membuka peluang meningkatkan kesejahteraan penghuni.

Keberhasilannya bergantung pada sejauh mana pelaksanaan membantu keluarga memperoleh pendapatan lebih stabil dan memenuhi tanggungjawab penyewaan tanpa mengabaikan keperluan asas.

Belanjawan 2027 mengumumkan Komuniti Angkat MADANI dengan peruntukan RM50 juta, dengan tumpuan kepada komuniti PPR bandar. Pengurusan tertinggi kementerian dan agensi diamanahkan mengetuai usaha ini.

Universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut dilibatkan untuk menawarkan kemahiran yang diperlukan warga PPR. Dapur bersama, peralatan perniagaan dan latihan juga diumumkan bagi meningkatkan pendapatan penduduk.

Usaha ini mempunyai potensi besar kerana kehidupan penghuni memerlukan sokongan yang melangkaui penyediaan kediaman. Namun, latihan dan peralatan perlu mempunyai hubungan yang jelas dengan peluang memperoleh pendapatan.

Persoalan pentingnya ialah bagaimana semua pihak memastikan sokongan itu menghasilkan perubahan yang dapat dikekalkan selepas aktiviti program selesai.

Dari sudut pengurusan, risiko yang perlu dielakkan ialah setiap agensi menyempurnakan tugas masing-masing tanpa mengikuti perkembangan keluarga secara menyeluruh.

Bantuan makanan mengurangkan tekanan segera, latihan menambah kemahiran dan pengurusan perumahan mengingatkan penyewa tentang bayaran. Walaupun semua usaha ini berguna, tunggakan boleh berterusan jika puncanya tidak ditangani bersama.

Penyelidikan berkaitan pematuhan pembayaran sewa perumahan awam yang saya sertai memberi petunjuk tentang hubungan antara pendapatan tidak stabil, perbelanjaan asas, tanggungjawab keluarga dan amalan pentadbiran.

Pemerhatian ini tidak mewakili semua penghuni PPR. Namun, ia membantu menjelaskan mengapa tunggakan memerlukan penilaian yang lebih teliti daripada andaian bahawa penyewa tidak mahu membayar.

Memahami Kemampuan Sebenar Keluarga

Kemampuan membayar tidak boleh dinilai melalui kadar sewa sahaja. Jumlah yang masih berbaki selepas keperluan asas dipenuhi lebih menggambarkan ruang kewangan sesebuah keluarga.

Dua keluarga yang mempunyai pendapatan hampir sama mungkin menghadapi tekanan berbeza. Satu menerima gaji bulanan, manakala satu lagi bergantung pada bilangan hari bekerja.

Keluarga yang menanggung rawatan kesihatan atau menjaga ibu bapa uzur pula mungkin mempunyai perbelanjaan tambahan yang sukar dielakkan. Kehilangan beberapa hari pendapatan boleh menyebabkan perancangan pembayaran terjejas.

Belanjawan 2027 mengumumkan peningkatan peruntukan gabungan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion.

Teks ucapan turut menyatakan penggunaan SARA untuk barangan basah dan segar yang boleh dibeli di 216 pasar tani atau tamu di bawah FAMA seluruh negara. Penganjuran Jualan RAHMAH pula akan diperbanyak di kawasan desa, perumahan kos rendah dan PPR bandar.

Langkah ini berpotensi mengurangkan tekanan perbelanjaan. Bagaimanapun, kesannya terhadap pembayaran sewa adalah secara tidak langsung. Peluasan SARA yang dinyatakan melibatkan pembelian barangan, bukannya pembayaran sewa.

Penjimatan keperluan harian juga belum tentu menghasilkan baki tunai mencukupi apabila keluarga masih menghadapi komitmen penting lain.

Oleh itu, penerimaan bantuan tidak wajar terus dianggap sebagai bukti kemampuan menyelesaikan semua bayaran.

Pengurusan perlu memahami keadaan keluarga, termasuk perubahan pekerjaan, tanggungan dan kesihatan. Penilaian ini membolehkan sokongan disesuaikan dengan punca kesukaran.

Bayaran pertama yang terlepas boleh dijadikan isyarat untuk menghubungi penyewa. Kes kehilangan pendapatan memerlukan tindak balas berbeza daripada pertikaian rekod bayaran.

Ketidakpatuhan yang disahkan walaupun seseorang mampu membayar pula perlu ditangani secara konsisten. Satu pendekatan untuk semua keadaan boleh menyebabkan bantuan tersasar dan tindakan menjadi kurang berkesan.

Tunggakan lama juga perlu dibezakan daripada sewa semasa. Sesebuah keluarga mungkin mampu menyambung bayaran bulanan tetapi belum mampu melangsaikan baki terdahulu sekaligus. Selepas akaun disahkan, pelan ansuran munasabah boleh membantu memulihkan pembayaran.

Tanggungjawab penyewa dikekalkan melalui aturan yang mampu dipatuhi, bukannya tuntutan yang berulang kali gagal diselesaikan.

Pendapatan Memerlukan Pelanggan dan Peluang yang Sesuai

Komponen pembangunan pendapatan dalam Komuniti Angkat MADANI perlu bermula dengan penilaian permintaan.

Dapur bersama bermanfaat apabila penggunanya mempunyai pelanggan dan mampu menampung kos operasi. Peralatan perniagaan pula memerlukan modal pusingan serta saluran jualan supaya dapat digunakan secara produktif.

Jika ramai penghuni menjual makanan yang hampir sama kepada jiran dengan kuasa beli terhad, pertambahan peniaga mungkin hanya membahagikan perbelanjaan sedia ada.

Jualan seorang peserta bertambah, tetapi jualan peserta lain berkurang. Dalam keadaan itu, pendapatan keseluruhan komuniti mungkin tidak banyak meningkat.

Agensi pelaksana perlu menilai pasaran, kebolehan peserta dan kekangan operasi sebelum menentukan bentuk latihan.

Jika bersesuaian, penghuni boleh dibantu mendapatkan pembeli di luar kawasan kediaman, termasuk peruncit atau pelanggan institusi. Hubungan tersebut perlu disertai kemampuan memenuhi keperluan kualiti dan penghantaran.

Peserta juga perlu memahami kos dan pendapatan bersih. Jualan yang meningkat belum tentu menambah wang untuk keluarga jika kos bahan dan pengangkutan turut meningkat. Universiti dan institusi TVET boleh membantu melalui bimbingan praktikal serta susulan selepas latihan, ketika masalah sebenar perniagaan mula muncul.

Pada masa sama, tidak semua penghuni sesuai menjadi usahawan. Warga emas, orang kurang upaya dan penjaga sepenuh masa mungkin memerlukan sokongan berbeza. Sebahagian penghuni lebih sesuai dengan pekerjaan bergaji, manakala yang lain masih memerlukan bantuan kebajikan.

Program perlu menyediakan laluan yang bersesuaian, termasuk padananpekerjaan dan akses kepada bantuan yang layak diterima.

Kesesuaian ini penting supaya sumber tidak tertumpu pada aktiviti yang sukar diteruskan oleh peserta. Kejayaan perlu dilihat melalui pendapatan yang lebih stabil dan keadaan hidup yang bertambah baik, bukan jumlah penyertaan kursus semata-mata.

Pengurusan yang Dipercayai dan Tanggungjawab yang Jelas

Pematuhan pembayaran turut memerlukan pentadbiran yang tepat. Apabila penyewa mempertikaikan catatan bayaran, akaun perlu disemak sebelum tuntutan diteruskan.

Baki yang tidak jelas boleh menjejaskan kepercayaan, khususnya apabila penyewa percaya pembayaran terdahulu belum diambil kira.

Penyata sewa perlu menunjukkan caj, bayaran diterima dan baki tertunggak dengan mudah difahami. Resit hendaklah dikeluarkan secara konsisten, sementara pertikaian mempunyai saluran pembetulan yang jelas.

Kaedah pembayaran digital boleh memudahkan urusan, tetapi penghuni yang memerlukan bantuan perlu mempunyai pilihan yang dibantu.

Kebajikan dan tanggungjawab juga perlu bergerak bersama. Kesusahan sebenar memerlukan sokongan, manakala pelanggaran syarat yang disahkan perlu ditangani secara adil, dengan notis dan peluang memberikan penjelasan.

Sebarang pertimbangan bantuan atau pelepasan tunggakan hendaklah berasaskan kriteria yang jelas dan akaun yang telah diperiksa.

Bagi penghuni Islam yang layak, kerjasama dengan institusi zakat boleh diteroka tertakluk kepada peraturan berkaitan. Kediaman di PPR tidak dengan sendirinya menentukan kelayakan asnaf. Penghuni lain yang layak juga perlu mempunyai akses kepada sokongan kebajikan yang sesuai.

Sebagai cadangan pelaksanaan, setiap PPR yang terlibat boleh mempunyai penyelaras untuk menghubungkan pengurusan perumahan dengan agensi pembangunan pendapatan dan kebajikan. Peranannya perlu merangkumi susulan rujukan dan penyelesaian kes yang tertangguh antara institusi.

Penyelaras mesti mempunyai akses kepada pihak yang boleh membuat keputusan supaya tidak menjadi satu lagi lapisan urusan.

Perkongsian maklumat perlu terhad kepada keperluan sebenar, dengan persetujuan dan perlindungan sewajarnya. Penghuni perlu mengetahui tujuan maklumat dikumpulkan. Usaha membantu keluarga tidak sepatutnya mendedahkan butiran peribadi yang tidak berkaitan.

Penilaian boleh bermula dengan rekod keadaan awal, diikuti pemantauan selepas enam dan dua belas bulan. Perubahan pendapatan bersih, pembayaran sewa semasa, tunggakan baharu dan pematuhan ansuran ialah antara ukuran yang berguna. Semuanya perlu dinilai bersama keadaan kebajikan keluarga.

Kutipan meningkat belum membuktikan kejayaan jika keluarga terpaksa mengurangkan makanan atau rawatan kesihatan.

Begitu juga, latihan yang banyak belum menunjukkan kemajuan apabila pendapatan tidak berubah. Ukuran yang lebih bermakna ialah kemampuan keluarga mengekalkan kehidupan yang stabil sambil memenuhi tanggungjawab secara munasabah.

Belanjawan 2027 membuka peluang memperkukuh kehidupan warga PPR melalui sokongan pendapatan dan pembangunan komuniti. Peruntukan RM50 juta perlu diterjemahkan kepada bantuan yang sesuai, pentadbiran yang dipercayai dan tindakan yang diselaraskan.

Nilai jangka panjangnya akan terlihat apabila keluarga lebih mampu menghadapi keperluan harian, membayar sewa secara teratur dan membina keyakinan terhadap masa depan mereka.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Profesor Madya Ts Dr Mohammad Harith Amlus
Timbalan Dekan (Akademik & Penyelidikan)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
E-mel: harithamlus@unimap.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.