Belanjawan 2027 tidak pinggirkan golongan M40

Datuk Seri Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 14 Oktober – Belanjawan 2027 mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan golongan berpendapatan sederhana (M40) terus diberi perhatian, khususnya dalam memastikan mereka turut menikmati manfaat daripada pelbagai insentif dan bantuan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Kewangan mengadakan siri libat urus menyeluruh untuk mendengar keluhan dan suara golongan M40 sebelum pembentangan belanjawan.
  • Perdana Menteri mengarahkan jawatankuasa belanjawan mengumpul maklum balas, termasuk pandangan golongan M40 yang kerap bersuara di media sosial.
  • Perbincangan diteruskan bersama MAFE mengenai pengecualian duti hiburan tiket filem tempatan demi manfaat penerbit dan penonton, terutama Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penyediaan pakej ekonomi itu menyaksikan Kementerian Kewangan (MOF) mendengar secara terus keluhan dan suara golongan berkenaan menerusi siri libat urus yang menyeluruh sebelum dibentangkan.

Pendekatan itu diambil selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seluruh pasukan jawatankuasa belanjawan untuk mengumpul maklum balas, cadangan serta memorandum daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan M40 yang sering menyuarakan pandangan di media sosial.

“Sebelum ini dalam media sosial, kita sering membaca persoalan daripada kelompok M40 tentang apakah nilai atau manfaat yang mereka dapat daripada belanjawan negara.

“Namun kali ini, hasil keterbukaan kerajaan mendengar pandangan pelbagai pihak, apa yang dibentangkan pada Jumaat lalu diterima sangat baik oleh rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi, di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fahmi turut memaklumkan mengenai perbincangan lanjut berkaitan pengecualian duti hiburan bagi tiket tayangan filem tempatan di Wilayah Persekutuan akan diteruskan bersama Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) dan pihak berkaitan.

“Saya meminta supaya libat urus dengan Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) diteruskan bagi memastikan manfaat ini bukan sahaja dinikmati penerbit filem tempatan, tetapi juga penonton filem, khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Saya maklum terdapat beberapa pandangan berbeza daripada pihak MAFE. Namun, matlamat utama kita adalah memastikan manfaat ini turut dinikmati oleh penonton filem tempatan,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.