42 set tren elektrik, RM3.4 bilion perkukuh perkhidmatan rel

Foto RTM

PUTRAJAYA, 12 Oktober – Sebanyak 42 set tren elektrik baharu bagi perkhidmatan Ekspres Transit (ETS) dan KTM Komuter akan diperoleh, manakala peruntukan RM3.4 bilion disediakan bagi penambahan tren serta penyelenggaraan perkhidmatan Prasarana.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perolehan tren akan diusahakan menerusi kaedah pajakan untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel dan mengatasi kekurangan tren.
  • 12 set tren KTM Komuter Utara dijangka mula beroperasi Februari 2027 untuk tingkatkan kekerapan perjalanan dan kurangkan tempoh menunggu penumpang.
  • Penambahbaikan dan penyelenggaraan ditumpukan untuk mengatasi kerosakan tren, khususnya LRT Laluan Kelana Jaya dan laluan lain di Lembah Klang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perolehan 42 set tren itu akan diusahakan menerusi kaedah pajakan bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel dan menangani masalah kekurangan tren.

“Penambahan tren dan penyelenggaraan itu turut memberi tumpuan kepada usaha mengatasi masalah kerosakan tren, khususnya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan laluan lain di Lembah Klang,” katanya kepada pemberita pada sidang media susulan pembentangan Belanjawan 2027 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 12 set tren baharu KTM Komuter Utara dijadual mula beroperasi pada Februari 2027 bagi meningkatkan kekerapan perjalanan serta mengurangkan tempoh menunggu penumpang.

“Di Lembah Klang pula, pembukaan semula beberapa bahagian landasan yang dinaik taraf menerusi projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT2) dijangka membantu meningkatkan kekerapan perkhidmatan tren,” katanya.

Tambahnya, kerajaan memahami rungutan pengguna berhubung kekerapan perjalanan dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam, justeru komited melaksanakan penambahbaikan secara berterusan.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) turut merancang melaksanakan kerja pemuliharaan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi memelihara warisan sejarah pengangkutan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.